Ribut, puting beliung tumbangkan 100 pokok sekitar Ipoh

Ribut, puting beliung tumbangkan 100 pokok sekitar Ipoh

 

Hampir 100 pokok tumbang dibadai ribut dan puting beliung yang melanda empat kawasan di sini kelmarin.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata laporan mengenai pokok tumbang paling banyak diterima pihaknya sejak awal kejadian sebelum Majlis Bandaraya Ipoh (DBI) menggerakkan operasi membersihkan lokasi terjejas pada jam 7.30 petang kelmarin.

“Kita menerima laporan hampir 100 pokok tumbang di empat lokasi berikutan ribut berkenaan,” katanya selepas melawat dan memberi sumbangan bakul makanan kepada mangsa terjejas bencana itu, hari ini.

Rumaizi berkata, pihaknya akan memastikan pokok yang lebih sesuai ditanam di sekitar bandar raya bagi menjamin keselamatan dan mengelak kejadian tidak diingini, manakala bukan jenis akar tunjang akan dicantas atau setengahnya terpaksa ditebang untuk digantikan dengan pokok lain.

“Laporan yang kita terima meramalkan perubahan cuaca mendadak, hujan akan bertambah lebat dan difahamkan kejadian ribut petir akan lebih kerap. Situasi itu memungkinkan lebih banyak insiden pokok tumbang kalau akarnya tidak cukup kuat dan jika di tepi jalan, berisiko kepada pengguna kenderaan yang lalu lalang.

“Oleh itu, kita sedang mengubah cara penanaman pokok di sekitar bandar raya untuk mengurangkan sedikit sebanyak impak sekiranya dilanda bencana,” katanya menambah, MBI menyalurkan peruntukan awal RM40,000 untuk kerja baik pulih kerosakan rumah penduduk di empat kawasan terjejas.

Bermula malam kejadian sehingga hari ini, beliau berkata, MBI melakukan kerja pembersihan dan pembaikan dengan kira-kira RM35,000 sudah dibelanjakan bagi membeli barangan untuk kerja baik pulih.

“Kita akan menilai dari semasa ke semasa jumlah kerosakan ditanggung penduduk untuk kerja baik pulih dan diberikan bantuan. Semalam, kita dapat laporan 219 rumah terjejas, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan kepada kerosakan kritikal, manakala pembaikan kecil kita akan lihat dan bantu,” katanya.

Semalam, media melaporkan 219 rumah di beberapa kawasan, antaranya Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini, terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung yang turut menyebabkan pokok tumbang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.