Mahu bantu orang susah, restoran tampal resit makanan sudah dibayar raih perhatian
Dalam dunia yang semakin mencabar dan kos sara hidup semakin meningkat, ada orang diuji dengan kesusahan hingga tidak mampu untuk membeli makanan.
Namun, atas dasar ihsan dan prihatin terhadap kesusahan orang lain, ada individu yang sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengira wang ringgit.
Itulah yang dilakukan oleh kedai makan yang terletak di Bukit Raja, Klang, Selangor.
Menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook Meru Klang Residents Official, seorang pengguna David Kan Yew Weng memuat naik imej resit yang sudah dibayar dan ditampal pada papan tanda restoran tersebut.
Apa yang menjadi perhatian adalah resit berkenaan sebenarnya khusus buat individu yang dalam kesusahan dan tidak mampu untuk membeli makanan.
Difahamkan, makanan pada resit tersebut dipercayai telah dibayar oleh individu atau pelanggan lain khusus buat mereka yang kurang berkemampuan dan kelaparan.
Malah, pengguna yang juga dipercayai merupakan pemilik restoran terbabit menjelaskan pihaknya amat mengerti kesusahan yang dihadapi orang lain dan mahu membantu mereka.
“Kami memahami bahawa kadang-kadang kehidupan boleh menjadi mencabar. Jika anda lapar dan tiada wang, makanan ini telah dibayar terlebih dahulu untuk anda.
“Kami di sini untuk menyokong komuniti kita, kerana tiada sesiapa harus kelaparan,” tulisnya.
Jelas pengguna itu menerusi ruangan komen, mereka yang dalam kesusahan boleh mengambil resit tersebut dan hanya perlu memberikannya kepada pekerja restoran untuk menyediakan makanan.
“Resit makanan telah dibayar, ada di depan kaunter. Boleh terus ambil dan berikan kepada staff kami,” tulisnya lagi.
Ketika ditanya tentang status halal, individu berkenaan menjelaskan pembekal bahan mentah mereka mempunyai sijil halal. Malah, tukang masak restoran itu juga merupakan seorang Muslim.
“Pembekal ada sijil halal dan tukang masak Muslim. Resit makanan yang telah dibayar ada di depan kaunter. Boleh terus ambil dan berikan kepada staff kami,” ujarnya.
David turut berkongsikan maklumat seperti nombor telefon, alamat dan lokasi Restoran Chong Guan Hainan Coffee yang terletak di Jalan Astaka, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.
Rata-rata netizen memuji tindakan kedai tersebut yang dilihat amat membantu dikala ekonomi sedang tidak stabil.
“Yang mana ada rezeki lebih inilah cara untuk tambah pahala. Semoga melimpah rezeki mereka yang suka beri orang makan.
“Harap lebih banyak kedai makan buat macam ini, mesti ramai yang nak bagi sumbangan.
“Kalau rasa waswas dengan kedai ini maka tak perlu makan. Islam itu mudah dan berilah peluang kepada orang lain, banyak lagi orang bukan Islam hidup susah,” antara komen netizen.