Restoran di Singapura cari pembuat roti canai, tawar rakyat Malaysia gaji RM5,000 ke atas

Restoran di Singapura cari pembuat roti canai, tawar rakyat Malaysia gaji RM5,000 ke atas

 

Apabila berbicara tentang makanan, sudah pasti rata-rata individu bersetuju bahawa roti canai adalah antara makanan kegemaran masyarakat di negara ini.

Bukan sahaja ia mendapat permintaan ramai penduduk tempatan malah, ramai juga pelancong asing yang menyukainya.

Menurut laporan TasteAtlas, roti canai telah dinobat sebagai roti terbaik di dunia mengalahkan hidangan roti popular dari negara lain seperti roti naan yang berasal dari India.

Baru-baru ini, New Straits Times melaporkan bahawa permintaan terhadap penebar roti canai semakin meningkat di negara jiran Singapura.

Ini adalah berdasarkan tinjauan pengiklanan yang semakin banyak di akhbar tempatan daripada pihak rekruter.

Pengiklanan terbaru menunjukkan penebar roti canai ditawarkan dengan jumlah pendapatan yang agak tinggi iaitu sebanyak RM5,000 dan ke atas.

“Gaji RM5,000 ke atas, surau, tempat tinggal dan makan disediakan,” lapor NST menerusi info yang tertera dalam satu akhbar semalam (22 April).

Dalam pada itu, terdapat juga banyak kekosongan kerja yang menawarkan gaji tinggi untuk pekerja mahir tanpa memerlukan sebarang sijil pendidikan tinggi.

Sesetengah daripada iklan tersebut juga menyediakan faedah tambahan sebagai contoh penginapan asrama serta elaun makan secara percuma kepada para pekerja.

Tawaran gaji menarik berkemungkinan menarik perhatian orang ramai sebagai satu peluang yang menguntungkan.

Walau bagaimanapun, pakar industri dalam bidang ini telah memberi amaran kepada orang awam bahawa tawaran tersebut mungkin tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup di luar negara (Singapura) agak tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia.

Menurut naib pengerusi Persatuan Pemilik Restoran & Bistro Jeremy Lim, gaji sebanyak RM5,000 itu kelihatan kompetitif, tetapi berisiko tidak cukup bagi menampung gaya hidup selesa di negara asing.

“Gaji yang ditawarkan sebenarnya tidaklah mewah dan mencabar untuk pekerja meneruskan kehidupan di sana (Singapura).

“Sewa bilik sahaja boleh mencecah antara enam ratus dolar (kira-kira RM2,867) hingga lapan ratus dolar (kira-kira RM3,823). Kemudian perbelanjaan harian dan pengangkutan perjalanan anda akan menelan kos yang lebih tinggi,” ujar Jeremy kepada pihak NST.

Tambahan pula, gaji yang ditawar dalam iklan mungkin tidak mampu menyediakan kualiti kehidupan yang diimpikan oleh seseorang.

Gaji yang ditawarkan mungkin kedengaran besar dari segi ringgit, tetapi apabila ditukar kepada dolar Singapura dan mengambil kira kos sara hidup di sana, ia mungkin tidak memberikan kualiti hidup yang diingini. – Jeremy Lim.

Sementara itu, Jeremy juga tidak menafikan negara ini semakin kehilangan bakat kulinari kepada negara yang lain.

“Mengekalkan bakat di Malaysia semakin mencabar terutama dalam sektor makanan dan minuman serta peruncitan.

“Peluang di seberang tambak menarik bakat dari Malaysia, didorong bukan sahaja oleh gaji tetapi juga dengan peluang yang lebih luas,” jelas lelaki berkenaan.

Permintaan tinggi untuk penebar roti canai bukanlah satu perkara yang pelik dan ganjil.

Seorang pemuda dikenali sebagai Kamarul Rizal sebelum ini berkata jualan roti canai di kedai makannya boleh mencecah sehingga 400-500 keping dalam masa sehari. Manakala sebanyak kira-kira 700 keping pada hujung minggu.

Menurutnya, jualan roti canai yang banyak di kedai Abang Terbang, Kuala Pilah di Negeri Sembilan itu menunjukkan bahawa hidangan tersebut menjadi antara pilihan utama masyarakat untuk sarapan pagi.

Biasanya orang yang nak makan roti canai pergi ke restoran mamak, tetapi sebenarnya ramai yang mencari roti canai buatan air tangan orang Melayu. – Kamarul.

Perkara tersebut sekaligus menjelaskan mengapa permintaan terhadap penebar roti canai meningkat dengan mendadak.