Resepi sotong ala Thai buat kecur air liur, wajib cuba

Resepi sotong ala Thai buat kecur air liur, wajib cuba

Rata-rata orang Malaysia amat menggemari masakan ala Thai, malah ada yang sanggup pergi ke negara Thailand untuk merasa tomyam asli, ikan stim limau dan makanan-makanan lain.

Di zaman serba moden ini, terdapat banyak resipi masakan ala Thai yang boleh didapati menerusi carian Google. Selain menjimatkan wang, anda juga boleh mengubah suai resipi masakan mengikut selera.

Kalau nak masak masakan ala Thai, perlu ada rasa masam, manis dan pedas. Kalau tidak, memang kurang rasanya.

Namun, jika asyik mencuba masakan tiga rasa, stim limau atau tomyam, mesti rasa jemu kan? Sekali sekala mesti nak mencuba hidangan yang baru.

Jadi kali ini min nak kongsikan resipi Sotong Ala Thai. Untuk orang yang sedang diet, hidangan ini sangat sesuai kerana tidak menggunakan minyak. Jom tengok resipi yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, Jijiey Zamri.

Bahan-bahan Sotong Ala Thai

Anda perlukan sotong, cili padi, bawang putih, akar ketumbar, sos tiram, sos ikan, gula, perahan limau nipis, jus limau dan daun ketumbar.

Cara penyediaan

Terpulang kepada anda jika ingin mengelar atau memotong bulat sotong tersebut. Mula-mula, masukkan sotong, rebus selama satu minit dan toskan. Jangan merebus sotong terlalu lama kerana sotong boleh menjadi liat.

Untuk sos pula, anda perlu masukkan cili padi, bawang putih dan akar ketumbar ke dalam mesin pengisar. Untuk menghasilkan sos yang terbaik, jangan kisar bahan-bahan itu terlalu halus. Selepas meletakkan bahan-bahan kisar ke dalam mangkuk, masukkan sos tiram, sos ikan serta gula.

Dalam pada itu, perahkan limau nipis dan tuang sedikit jus limau untuk rasa masam-masam pedas. Akhir sekali, masukkan daun ketumbar kemudian gaul rata. Seterusnya, anda boleh tuang sos ala Thai ke atas sotong yang sudah dimasak.

Jika makan bersama nasi panas, memang menambah berkali-kali. Tetapi sekiranya anda mempunyai alahan terhadap makanan laut, jangan risau kerana anda boleh menukar kepada ayam atau daging. Selamat mencuba dan menjamu selera.