Replika capal bukan tunjuk taksub

Replika capal bukan tunjuk taksub

Susulan dakwaan sebuah madrasah di Perak menempatkan replika papan kayu berbentuk capal pada hadapan mihrab surau pusat pengajian agama tersebut.

Mudir madrasah terbabit, Ahmad Rozaini Abdul Rahman An-Nuuri menafikan dakwaan pihaknya taksub dengan replika tersebut.

Sebaliknya ujar beliau, replika tersebut digunakan hanya untuk tujuan hiasan sudut bahagian imam yang dijadikan studio untuk ceramah agama harian beliau.

“Ruang imam ini dijadikan studio untuk ceramah agama saya, kuliah Subuh dan Maghrib pula kita buat setiap hari dan ada disiarkan secara langsung di Facebook.

“Jadi saya letakkan replika capal ini untuk tujuan hiasan, malah ia turut dipasang dengan lampu dengan tujuan untuk mencantikkan ruang ketika ceramah,” katanya ketika ditemui TV AlHijrah di surau tersebut.

Ujar Ahmad Rozaini, ruang imam itu dijadikan studio untuk ceramah agama nya sejak setahun yang lalu dan replika terbabit dipasang bagi mencantikkan ruang dan bukan digunakan untuk tujuan menyembah.

Katanya, penjelasan telah diberikan kepada pihak Jabatan Mufti Perak berhubung isu tersebut semalam.

Pihak Jabatan Mufti Perak ujarnya berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan beliau tidak menerima sebarang arahan untuk menurunkan replika capal terbabit.

Malah Ahmad Rozaini yang mahir bertukang sangat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berhasrat untuk menempah replika tersebut sebagai hiasan.

“Saya alu-alukanlah jika ada yang berminat, sekurang-kurangnya hasil upah itu nanti boleh digunakan untuk menyiapkan proses naik taraf surau ini.

“Boleh juga beri keselesaan kepada penduduk sekitar yang datang untuk menunaikan solat atau mengikuti kuliah dan ceramah di sini,” katanya

TV Alhijrah Perak