Rentas negeri tak lengkap vaksinasi, pasangan suami isteri dari Perak dikompaun RM2,000

Rentas negeri tak lengkap vaksinasi, pasangan suami isteri dari Perak dikompaun RM2,000

 

Cubaan sepasang suami isteri dari Perak yang masih tidak lengkap vaksin untuk merentas ke daerah ini membawa padah apabila dikompaun semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata pasangan itu ditahan dalam operasi pematuhan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Kulai – Kota Tinggi.

“Pasangan suami isteri itu diberikan kompaun kerana merentas negeri tanpa vaksin yang lengkap.

“Siasatan mendapati mereka dari negeri Perak ke Kulai melalui SJR (Inas) Jalan Kulai-Kota Tinggi untuk melakukan rentas negeri.

“Nilai kompaun dikenakan adalah sebanyak RM2,000 setiap seorang,”katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Kosmo.

Katanya, kompaun dikeluarkan adalah di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun kerajaan telah memberikan kebenaran bagi mereka yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri.