Rentas negeri: Perak sedia terima pelancong
Pemain industri pelancongan di negeri ini sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima semula kehadiran pelancong sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, untuk itu, pemain industri itu diingatkan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan disebabkan kes Covid-19 yang masih tinggi.
Menurutnya, ini kerana mereka telah sedia maklum mengenai syarat-syarat asas dan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Perak yakin telah bersedia sepenuhnya untuk menerima para pengunjung ke destinasi pelancongan di negeri ini.
“Contohnya Pulau Pangkor akan dikawal sebaik mungkin bagi memastikan pengunjung telah cukup syarat ditetapkan MKN bagi tujuan pelancongan ke situ apabila rentas sempadan negeri dibenarkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita majlis Penutupan Taiping Bird Week 2021 di sini hari ini.
Turut hadir Yang DiPertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir dan Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kevin Lazarus.
Mengenai Pulau Pangkor, Nolee Ashilin berkata, pada awalnya, pelancongan di pulau itu dirancang untuk dibuka menerusi penyenaraiannya sebagai gelembung pelancongan.
Beliau berkata, namun, kerajaan negeri perlu memenuhi syarat -syarat asas seperti pematuhan SOP sekiranya mahu pulau itu disenaraikan dalam gelembung pelancongan.
“Namun, apabila rentas sempadan negeri dibenarkan, maka, pematuhan SOP tertakluk kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak MKN,” katanya.
Mengenai Taiping Bird Week, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri sedia menyenaraikan acara itu dalam kalendar pelancongan antarabangsa dan menjadikan Taiping sebagai lokasi baharu untuk melihat pelbagai spesis burung.
Menurutnya, ini kerana Taiping telah menjadi lokasi burung hijrah seperti burung Hoppo atau burung hud-hud yang telah membiak di Taman Tasik Taiping di sini sejak April lalu.
Beliau berkata, sejak penghijrahan burung itu, ia telah menarik minat pencinta burung untuk mengikuti acara Taiping Bird Week.
“Dengan penyenaraian acara itu kalendar pelancongan, ini akan membolehkan sektor pelancongan di bandar ini menerima kemasukan pengunjung yang ramai apabila rentas negeri dibuka.
“Saya percaya dengan menerusi produk pelancongan baharu ini, selain Kuala Gula di Daerah Kerian dan Royal Belum sebagai tempat persinggahan burung hijrah, Taiping pula akan menjadi tempat tumpuan pencinta burung,” katanya.
Menurut Nolee Ashilin, Taiping juga mempunyai produk pelancongan lain seperti Zoo Taiping & Night Safari, yang akan dibuka kepada pengunjung pada 18 Oktober ini.
“Saya percaya ramai pengunjung yang sedang menunggu pembukaan zoo ini,” katanya.
Sumber: Utusan