Remaja perempuan maut, rumah terbakar
Seorang remaja perempuan yang melecur seluruh badannya meninggal dunia dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Pantai Kuala Kurau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata dalam kejadian pada jam 1.10 pagi, mangsa, Leng Li Zhee, 13, yang melecur keseluruhan badan, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar.
Beliau berkata, dalam kejadian itu juga, seorang lagi wanita yang juga ahli keluarga mangsa patah kaki kiri ketika terjun dari tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.
“Siasatan awal mendapati rumah dua tingkat itu mempunyai lima bilik tidur di ruang atas manakala ruang tamu dan dapur di bahagian bawah.
“Ketika kejadian terdapat lapan orang termasuk dua bayi perempuan masing-masing berusia dua bulan dan 18 bulan di tingkat atas rumah berkenaan.
“Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bawah rumah lalu merebak ke tingkat atas,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mazuki berkata, seorang daripada mangsa memberitahu, ketika kejadian mereka yang sedang tidur tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat beberapa kali di bahagian bawah rumah.
“Mereka terpaksa keluar melalui tingkap kiri bahagian atas rumah dengan dibantu orang awam dan pihak bomba.
Beliau berkata, remaja yang maut itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat pagi ini manakala mangsa yang mengalami patah kaki, kini ditempatkan di wad hospital sama untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 12.56 tengah malam tadi dan mengambil masa lebih tiga jam mengawal kebakaran sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.05 pagi tadi. – BH