Remaja perempuan lari dari rumah dicekup berkhalwat dengan pasangannya di bilik sewa

Remaja perempuan lari dari rumah dicekup berkhalwat dengan pasangannya di bilik sewa

Seorang remaja perempuan dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah bilik sewa, di Lorong Titi Siam, Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar, awal pagi hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya menerima maklumat awam pada jam 2.15 pagi Sabtu, 27 Mac 2021 dan mengarahkan sepasukan anggota penguatkuasa JAIK menyerbu bilik sewa tersebut.

Sebaik tiba di lokasi, mereka mendapati seorang remaja perempuan dan lelaki yang masing-masing berusia 18 tahun berada di dalam bilik itu.

Ketika disoal siasat, mereka gagal mengemukakan sebarang bukti mempunyai hubungan suami isteri atau mahram sah dan disyaki berdua-duaan serta melakukan maksiat.

Difahamkan, remaja perempuan itu dipercayai melarikan diri dari rumah dan tinggal bersama dengan pasangannya sejak sebulan lalu.

“Kedua-dua mereka berasal dari Pendang. Lelaki itu bekerja sebagai pemotong rumput, manakala remaja perempuan itu bekerja di kedai barangan terpakai,” katanya.

Pasangan itu dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kota Setar untuk diambil keterangan sebelum bapa kepada remaja perempuan itu datang untuk menjamin anaknya. Remaja lelaki itu pula dibebaskan dengan jaminan keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak melakukan maksiat. Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali. – HM