Remaja maut motosikal terbabas

Remaja maut motosikal terbabas

 

Seorang remaja orang asli maut selepas terlibat dalam kemalangan di KM357.5 Lebuh raya Utara Selatan arah selatan, di sini awal pagi Ahad.

Mangsa, Along Amir, 19, yang beralamat di Felda Trolak Utara, Sungkai disahkan maut di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.45 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Tapah menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal Honda RSX yang ditunggang mangsa hilang kawalan.

“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya tersebut.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum di bawa ke hospital untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, pada Ahad.

Sementara itu, Wan Azharuddin berkata, ahli keluarga mangsa dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, punca kematian hanya akan diketahui selepas bedah siasat yang dijadualkan dilakukan pada tengah hari Ahad selepas keputusan ujian Covid-19 diterima.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kenderaan terlibat akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan.