Remaja maut, kanak-kanak, seorang bayi cedera nahas 2 kenderaan

Remaja maut, kanak-kanak, seorang bayi cedera nahas 2 kenderaan

 

Seorang remaja lelaki maut manakala enam termasuk seorang kanak-kanak serta seorang bayi cedera apabila kereta dinaiki remaja itu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 59.5, Jalan Ipoh-Gerik berdekatan Tanah Merah, Lubuk Merbau di sini, tengah hari semalam.

Nahas pada jam 12.25 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Amir Asyraf Othman Jaludin, 13, dari Kampung Padang Stang, Gerik, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata nahas membabitkan sebuah Perodua Axia dinaiki remaja berkenaan dengan sebuah pacuan empat roda Nissan Navara.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila Perodua Axia dinaiki remaja berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai memasuki laluan Nissan Navara yang datang dari arah bertentangan.

“Kejadian berlaku ketika pemandu Perodua Axia berkenaan dari arah Gerik menuju Kuala Kangsar manakala pemandu Nissan Navara dari arah bertentangan. Kesemua yang berada dalam Nissan Navara beralamat di Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa yang cedera adalah pemandu Nissan Navara, Faizul Mustafa Kamil, 40; anaknya, Nur Raidy Fathullah, 3; Rohani Zaily, 38; dan Nur Elvina Medina Saifulnizam, berusia setahun. Kesemua mereka menaiki Nissan Navara.

Katanya, turut cedera, pemandu Perodua Axia, Muhammad Amir Azfar yang juga abang kepada Muhammad Amir Asyraf dan Mohd Jamelluddin Yusof, 35 yang menaiki kereta sama.

Omar Bakhtiar berkata, hanya seorang mangsa tidak cedera iaitu bayi lelaki berusia dua bulan yang berada di tempat duduk penumpang belakang Nissan Navara.

“Mangsa yang maut akan menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar pada esok (hari ini) manakala mangsa cedera yang lain dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.