Remaja dirogol bapa saudara sejak 2018, ibu saudara tahu tapi tak ambil sebarang tindakan
Seorang remaja perempuan membuat laporan polis mendakwa dirogol bapa saudaranya sejak 2018 di rumah mereka di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka.
Lebih menyedihkan, isteri lelaki itu yang juga adik kepada ibu mangsa sendiri tidak mengambil sebarang tindakan, walaupun mengetahui perbuatan suaminya.
Remaja berusia 18 tahun itu tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya sejak berusia 10 tahun, selepas kematian ibunya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa membuat laporan Ahad minggu lalu, dengan menyatakan lelaki itu merogolnya sejak Oktober 2018.
“Kejadian (pertama) dikatakan berlaku pada Oktober 2018, kira-kira 5 pagi apabila mangsa dipanggil ibu saudaranya masuk ke bilik konon untuk memeriksa sama ada mangsa masih dara atau sebaliknya.
“Selepas itu, mangsa disuruh melakukan hubungan seks dengan bapa saudaranya yang juga suami wanita terbabit,” katanya dipetik Berita Harian.
Sejak itu, beliau berkata, mangsa mendakwa dirogol berulang kali oleh bapa saudaranya.
“Kejadian itu didakwa diketahui ibu saudaranya, namun wanita terbabit tidak mempedulikannya.
“Kali terakhir mangsa dikatakan dirogol pada bulan ini, sebelum dia tampil membuat laporan polis.”
Susulan itu, Sukri berkata, polis menahan ibu saudara mangsa berusia 37 tahun pada hari laporan dibuat, manakala bapa saudaranya yang berusia 39 tahun ditangkap di Kuala Sungai Baru 22 Julai lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sumber: FMT