Remaja 19 tahun tiba di Mekah selepas hampir dua bulan tunggang Modenas Kriss 110

Remaja 19 tahun tiba di Mekah selepas hampir dua bulan tunggang Modenas Kriss 110

 

Seorang remaja berusia 19 tahun mencuri perhatian di media sosial selepas dipercayai tiba di kota suci Mekah dengan hanya menunggang motosikal.

Menerusi hantaran di Facebook yang dipercayai bapanya, Aimpro Samudra, pemuda yang dikenali sebagai Muhammad Aidil Nursulhi menyertai Jelajah Silaturahim Malaysia Ke Mekah 2024 yang telah bermula pada 21 Mac lalu.

Lebih menarik lagi, pemuda itu berjaya menyahut cabaran itu dengan hanya menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss 110 ke tanah suci.

Dia meluahkan rasa syukur dengan kehebatan anaknya yang berjaya tiba dengan selamat ke kota itu dalam ekspedisi yang mengambil tempoh selama lebih dua bulan itu.

“Alhamdullillah. Allahuakhbar. Terima kasih buat semua.

“Tahniah buat “Anak Abah ” Muhammad Aidil. Ya Allah,” tulisnya dalam satu hantaran.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai oleh anaknya itu adalah disebabkan dengan izin daripada yang Maha Esa.

“Allhamdulillah, Abah sendiri pun belum sampai. Syukur Alhamdulillah. Ini semua dengan keizinan dariNya. Berkat doa semua,” tulis ayahnya dalam satu hantaran sebelum itu.

Dalam hantaran berkenaan, Aidil dilihat bergambar bersama motosikal itu dengan berlatarbelakangkan Masjidil Haram.

Dalam beberapa klip memaparkan remaja tersebut menempuh pelbagai bentuk muka bumi dan cuaca yang cukup mencabar sebelum tiba di kota yang menjadi impian bagi seluruh umat Islam.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan anak muda itu.

Sesetengah mereka berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan oleh Aidil untuk tiba di kota suci itu.

“Tahniah. Dari atok menurun ke anak disambung oleh cucu. Satu keluarga pengembara,” kata seorang pengguna.

“Alhamdulillah. Semangat juang anak muda. Semoga sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya,” tulis seorang pengguna lagi.

“Alhamdulillah. Tahniah Aidil. Moga Allah rahmati setiap niat dan usaha,” kata seorang pengguna lain.

Respect, tahniah Aidil berjaya merealisasi impian. Semoga menjadi inspirasi buat anak muda,” tulis pengguna lain di ruangan komen.

Terdahulu, Aidil bersama ayahnya pernah mengembara mengelilingi dunia menaiki sebuah kereta tempatan, Perodua Kelisa.