Remaja 13 tahun sanggup reka cerita ‘diculik’ van putih, rupanya nak elak pergi mengaji

Remaja 13 tahun sanggup reka cerita ‘diculik’ van putih, rupanya nak elak pergi mengaji

 

Sejak dahulu lagi, banyak kes penculikan dilaporkan dan selalunya mangsa terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Semalam, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun telah berjaya diselamatkan oleh pihak polis selepas mereka menerima laporan tentang kehilangan remaja tersebut.

Berita kehilangan ini telah mencemaskan ibu kepada remaja tersebut sehingga dia membuat laporan di balai polis daerah Kota Kinabalu. Setelah disoal siasat, rupa-rupanya remaja tersebut sengaja mengada-adakan cerita dirinya telah diculik dek kerana enggan menghadiri kelas mengaji.

Mangsa juga takut dimarahi oleh pengadu (ibunya) kerana enggan hadir (ke kelas) mengaji. – Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda

Sepanjang tempoh kehilangan remaja tersebut, mangsa dikatakan bersiar-siar di Plaza Wawasan sehingga dia dikesan oleh pengawal keselamatan Wisma Sedco kerana terlalu lama berada di dalam bangunan itu.

Bagaimanapun, remaja itu telah diserahkan kepada waris dan diberikan nasihat supaya tidak mengulangi perbuatan itu.

Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan.– pihak polis

Terdahulu, tular di media sosial tentang dakwaan seorang remaja berusia 13 tahun telah diculik dan dibawa lagi menggunakan van berwarna putih di Kampung Tanjung Aru Baru.

Mangsa juga mendakwa mulutnya telah ditutup tetapi sempat melarikan diri selepas penculik berhenti untuk membuang air kecil di tepi jalan.