Rasuah polis, pekerja kilang Bangladesh menangis didenda RM10 ribu

Rasuah polis, pekerja kilang Bangladesh menangis didenda RM10 ribu

 

Seorang pekerja kilang warga Bangladesh menangis ketika membuat rayuan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM150 kepada pegawai polis, Mac tahun lalu.

Hossain Md. Shakib, 31, dilihat mengesat mata ketika mengemukakan rayuan melalui jurubahasa warga Bangladesh di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Mengikut pertuduhan pilihan, bapa kepada dua anak itu didakwa memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM150 kepada Inspektor C. Sathyaseelan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Perbuatan itu dilakukannya sebelum jalan keluar di Plaza Tol Sungkai dalam daerah Batang Padang pada pukul 2.50 petang, 10 Mac 2021.

Suapan itu diberikan sebagai dorongan untuk Sathyaseelan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki itu dan dua rakan senegaranya yang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak sampai dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam prosiding itu, Hossain memohon dikenakan hukuman ringan dan memberitahu mahkamah yang dia hanya berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan, selain perlu menyara dua anak dan lima ahli keluarga lain di Bangladesh.

Hakim M. Bakri menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas Hossain atau tiga bulan penjara jika lelaki itu gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membayar denda tersebut.