Rasuah: Kontraktor didakwa lagi dengan 3 pertuduhan

Rasuah: Kontraktor didakwa lagi dengan 3 pertuduhan

 

Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Johor Bahru, seorang kontraktor didakwa sekali lagi di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM14,000 kepada penjawat awam, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Asdi Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi rasuah berjumlah RM14,000 kepada seorang penolong jurutera berusia 44 tahun sebagai dorongan untuk mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan bagi kerja-kerja pembaikan lapis kalis air di blok b dan c asrama perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor.

Suapan itu juga melibatkan kerja-kerja pembaikan kerosakan di kediaman kelas blok kakitangan dan pegawai di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor dan kerja-kerja penyelenggaraan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Ipoh Garden dekat sini pada 6 dan 20 Disember 2019.

Asdi didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan meminta kes dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes lain melibatkan tertuduh sama.

Peguam Nazrin Sulaiman bagaimanapun memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000  bagi tujuan jaminan untuk kes hari ini.

Hakim M. Bakri menolak permohonan itu dan menetapkan jaminan baharu sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Januari 2022.

Pada 21 Disember lalu, bapa kepada lima anak itu bersama abangnya, Amir Ali, 46, mengaku tidak bersalah bagi enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan memberi rasuah berjumlah RM83,000 kepada penjawat awam, dua tahun lalu.

Asdi juga didakwa pada 9 Januari lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM10,000 kepada jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), tahun lalu.