Rasuah: 3 penguat kuasa JPJ, 2 proksi ditahan reman

Rasuah: 3 penguat kuasa JPJ, 2 proksi ditahan reman

Tiga penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Perak, Pahang dan Pulau Pinang, serta dua proksi, ditahan reman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

Perintah dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab selepas menerima permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini.

Pada Isnin, SPRM menahan lapan kakitangan JPJ serta empat proksi kerana disyaki menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan.

Ia sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Isnin, salah seorang daripada proksi itu telah ditahan reman selama lima hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – AA