“Rasa seperti mimpi, buka paip ada air”
Lebih 40 tahun hidup tanpa bekalan air bersih, sebuah keluarga di Kampung Chikus di sini tidak menyangka penantian mereka berakhir apabila menerima bantuan pemasangan paip.
Hamid Suliman, 46, berkata, rumah yang didirikan ayahnya sekitar tahun 1953 itu berada agak jauh di pedalaman menyebabkan kesukaran penyambungan paip.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan keluarganya terpaksa menjalani hidup dengan bergantung harap kepada bekalan air telaga dan telaga tiub.
“Keadaan itu berlarutan sehinggalah saya sudah berkeluarga dan kini tujuh anak juga melalui kehidupan sama tanpa bekalan air bersih.
“Sudah banyak permohonan bantuan dibuat untuk pemasangan paip ini namun tiada satu pun yang berjaya. Kami faham kesukaran itu memandangkan rumah ini berada di kawasan terpencil,” katanya.
Keadaan keluarga itu bagaimanapun mendapat perhatian Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak yang kemudiannya membantu melaksanakan kerja-kerja penyambungan paip dengan kerjasama Lembaga Air Perak (LAP).
Hamid berkata, keprihatinan diberikan itu memberi sinar baru kepada mereka untuk menjalani kehidupan seperti keluarga lain.
“Alhamdulillah, syukur sangat-sangat, selepas lebih 40 tahun hidup, hasrat saya untuk sediakan bekalan air bersih kepada keluarga dimakbulkan ALLAH SWT.
“Sekarang rasa seperti mimpi, buka paip ada air,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, kerja-kerja pemasangan paip sejauh 1.2 kilometer itu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari minggu lalu dengan kos RM7,500.
“Kisah keluarga itu diketahui sebaik tular di media sosial dan menerusi perbincangan bersama LAP, kita berjaya menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya. – SH