“Rasa sangat selesa..” – Lelaki hidap ABDL, suka pakai lampin ke tempat kerja sebab ingin jadi bayi

“Rasa sangat selesa..” – Lelaki hidap ABDL, suka pakai lampin ke tempat kerja sebab ingin jadi bayi

 

Individu bergelar bayi dewasa atau sindrom bayi dewasa sememangnya ada.

Namun, pengamal gaya hidup ‘Adult Baby Diaper Lover’ atau (ABDL) itu sukar dihidu.

Mana tidaknya, menjalani hidup sebagai orang dewasa seperti biasa, tetapi keinginan, tabiat menjadi bayi serta kelengkapan semuanya ada di rumah.

Adam, bukan nama sebenar, merupakan individu yang mengakui mempunyai sindrom berkenaan.

Daripada keseorangan, dia kini miliki kenalan yang mempunyai minat sama.

Berkongsi dirinya menghidap ABDL, Adam, 35, dari Petaling Jaya berkata, keinginan menjadi bayi bermula sejak usianya 13 tahun, ketika melihat adiknya memakai lampin.

“Satu hari saya rasa nak cuba pakai lampin adik saya, masa tu kecil lagi.

“Saya ambil lampin adik saya senyap-senyap, saya cuba pakai dan muat.. Masa tu timbul rasa yang sangat selesa,” katanya.

Tidak menghidap sebarang masalah kesihatan, Adam yang juga seorang jurutera berkata, sejak itu juga perasaan ingin menjadi bayi mula bercambah.

“Bermula hari itu, saya pakai, ibu bapa tak pernah tahu.. saya ingat benda ni pelik. Tapi bagi saya, bila saya pakai lampin, saya rasa sangat selesa, tenang dan apa yang ada dalam naluri saya cuma nak pakai lampin,” katanya.

Menurutnya lagi, dia tidak menyangka keinginan pelik itu bukan berlaku pada dirinya sahaja.

Malahan segala kelengkapan bayi dewasa turut dijual di platform komuniti itu.

“Dengan kemajuan terkini, saya terjumpa kumpulan yang ada naluri sama macam saya.

“Segelintir mereka hanya suka pakai lampin, manakala ada sesetengah lagi berkeinginan menjadi bayi dan ada yang sukakan kedua-duanya.

Engineer Hidap ABDL Suka Pakai Lampin Ke Tempat Kerja, Isteri Tak Tahu Sisi Aneh

Walaupun sudah enam tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata, sehingga kini, sisi lainnya itu tidak diketahui isterinya.

“Saya takkan pakai lampin depan isteri atau keluarga, tapi kalau saya kerja, di luar kawasan, hampir sepanjang masa saya akan pakai lampin.

“Contohnya, tiap kali saya pergi gym, mendaki, di mana-mana sahaja kalau ada peluang saya akan pakai,” katanya yang merupakan salah seorang daripada 148 ahli komuniti ABDL yang dikesan di media sosial

Tidak menganggap ianya pelik, dirinya juga tidak terdetik untuk bertemu doktor atau menjalani rawatan psikologi.

Pakar Psikologi Klinikal Kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, ABDL adalah lebih kepada gaya hidup individu tertentu disebabkan kurang kasih sayang, ketidakseimbangan emosi dan tidak tahu cara menyalurkan emosi dengan betul.

“ABDL ni lebih kepada gaya hidup masyarakat tertentu melayani perasaan mereka. Saya ingin tegaskan bahawa ABDL buka satu masalah perubatan dan juga bukan masalah psikologi secara khusus tetapi gaya hidup sesuatu masyarakat itu.

“Namun begitu, gaya hidup ini pun termasuk elemen psikologi yang melibatkan emosi, tingkah laku orang dewasa yang tidak wajar,” katanya.

Ujarnya, pengamal ABDL yang berkelakuan seperti bayi, merengek, minum susu dan memakai lampin adalah budaya negara luar yang sukakan perhatian, dengan kebanyakannya berlaku dalam kalangan lelaki dewasa.