“Rasa bebas, phone bagi saya tekanan” – Pierre Andre dedah sudah 10 tahun tiada telefon bimbit dan media sosial

“Rasa bebas, phone bagi saya tekanan” – Pierre Andre dedah sudah 10 tahun tiada telefon bimbit dan media sosial

 

Lebih 10 tahun menyepi dari radar industri, pelakon dan pengarah, Pierre Andre, tiba-tiba membuat kemunculan semula selepas diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem Jangan Pandang Belakang 2 – Aku Tahu Asal Usulmu.

Namun, sebenarnya tidak mudah untuk penerbit filem berkenaan berhubung dengan pengarah terbabit sekiranya mereka perlu berkomunikasi atas tugasan kerja.

Hal itu disebabkan anak kepada Khatijah Tan itu sudah lama tidak menggunakan telefon genggam.

Menurut Pierre – yang namanya melonjak naik selepas tercetus fenomena Jangan Pandang Belakang arahan Ahmad Idham pada 2007 – sesiapa yang mahu berkomunikasi dengan dia atas urusan kerja bolehlah berbuat demikian melalui isterinya, Siti Nur Hidayah Hashim.

Katanya sejak berkahwin dengan Siti Nur Hidayah, sudah 11 tahun dia tidak menggunakan telefon genggam mahupun mempunyai akaun media sosial.

“Saya rasa bebas tanpa guna telefon bimbit. Saya tiada telefon bimbit mahupun media sosial sejak 11 tahun lalu. Kalau ada orang nak cari, boleh hubungi isteri.

“Ini sangat berbeza waktu saya aktif dulu. Telefon bimbit memang memberi tekanan kepada saya.

“Bagi saya, telefon hanya untuk merakam video kandungan YouTube, bukan alat berkomunikasi dengan orang lain,” katanya.

Tolak tujuh tawaran

Tambah Pierre, pernah untuk satu tempoh yang panjang, dia hanya menggunakan telefon awam bahkan meminjam telefon isteri untuk mengetahui perkembangan dunia semasa jika perlu.

“Malah tidak ramai orang tahu nombor telefon isteri selain nombor perniagaan. Tapi kalau saya nak tahu isu semasa, saya pinjam telefon isteri dan belek sepintas lalu saja,” katanya.

Pierre berkata demikian pada sidang media filem Jangan Pandang Belakang 2 – Aku Tahu Asal Usulmu yang berlangsung di Petaling Jaya semalam.

Sebelum ini kehilangan Pierre, 38, dari dunia seni lakonan dan pengarahan memang mencetus tanda tanya ramai. Namun, alasan pengarah itu adalah dia ingin memberi fokus pada keluarga.

Filem sekuel itu yang hadir selepas 17 tahun Jangan Pandang Belakang ditayangkan kini menampilkan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek dan Cat Farish.

Fiem itu dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini.

Pierre berkata, dia mengambil masa yang lama untuk menerima tawaran daripada David Teo kerana bimbang untuk menghasilkan naskhah yang lebih hebat daripada filem pertama.

Katanya, dia juga sudah lama tidak duduk di kerusi pengarah.

“Sebelum ini saya tolak (tawaran mengarah) tujuh filem masa saya hilang.

“Sebenarnya, sampai sekarang saya masih fikir kenapa saya terima tawaran ini, mesti ada hikmah dan sesuatu yang Tuhan nak bagi,” katanya.