Ramai tak tahu cara mudah tanam pokok kesum tepi rumah, pasti daun lebat merimbun

Ramai tak tahu cara mudah tanam pokok kesum tepi rumah, pasti daun lebat merimbun

 

Enak dimakan mentah sebagai ulam, daun kesum juga digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis masakan di negara kita.

Biasanya, golongan wanita mengunakan daun kesum dalam penyediaan hidangan seperti laksa, nasi kerabu, asam pedas dan macam-macam lagi.

Menerusi perkongsian di Facebook Berkebun Di Rumah, anda boleh menanam sendiri pokok kesum dengan mengikuti 13 langkah mudah.

Cara menanam pokok kesum:

1. Cari benih pokok kesum yang sihat segar sama ada anda beli di pasar atau nursery.

2. Sediakan medium tanah yang sesuai, bab tanah ni Cikgu Kebun (CK) ajar anda yang paling mudah iaitu guna tanah merah campur sabut sahaja. nisbah 70 peratus tanah 30 peratus sabut.

3. Cari pasu rendah tapi mempunyai permukaan yang lebar, pastikan pasu tidak mempunyai banyak lubang, cukup dua lubang sahaja.

4. Potong daun kesum lima ruas satu keratan, buang semua daun sebelah bawah dan tinggalkan tiga helai daun sebelah atas sahaja.

5. Letakkan hormon pengakaran pada keratan batang yang telah anda kerat tadi. Jika mahu pokok rimbun, banyakkan keratan untuk disemai.

6. Anda boleh terus tanam semua keratan tersebut. Tapi CK pilih untuk semai terlebih dahulu dalam cup air atau polybag kecil.

7. Satu polybag kecil boleh semai dua atau tiga keratan batang guna tanah yang sama seperti di atas.

8. Kenapa CK semai dahulu? Tujuannya kita akan tanam pokok kesum yang betul-betul stabil dan hidup sahaja dalam pasu tadi.

9. Pokok kesum mula berakar selepas dua minggu semaian dan boleh terus dipindahkan ke dalam pasu.

10. Jika anda semai tadi tujuh polybag dan hidup kesemunya jadi anda tanam kesemua tujuh polybag yang mempunyai pokok itu ke dalam satu pasu sahaja. Baru akan dapat pokok yang rimbun.

11. Anda jangan lupa, kena letak baja untuk proses pokok kesum membesar, CK akan guna Baja Wangi Organik, hanya perlu tabur dua minggu sekali sahaja.

12. Siram satu hari dua kali, pokok kesum suka air banyak jadi jika terlebih siram tidak ada masalah.

13. Pokok kesum tidak suka cahaya matahari terus, jadi letak pokok kesum bernaung di bawah pokok lain atau bawah jaring hitam.