Ramai ’tak rileks’ lihat Anwar pakai capal masuk PMO, ini etika pakaian rasmi penjawat awam yang perlu anda tahu
TAMPIL dengan baju Melayu yang lengkap bersamping dan bersongkok semasa ‘clock-in’ hari pertama memulakan tugas pada 25 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perhatian umum sehingga tular di media sosial.
Malah gaya klasik yang diserikan lagi dengan pemakaian capal sekali gus memperlihatkan figura ternama itu persis seorang bangsawan Melayu zaman dahulu kala.
Pun begitu, disebabkan kelainan dan keunikan penampilan beliau berbanding Perdana Menteri sebelumnya yang lebih gemar memakai lounge suit membuatkan masyarakat tertanya-tanya sama ada busana Melayu lengkap bersama capal termasuk dalam etika pakaian rasmi penjawat awam.
Malah sejak gambar tersebut tular, ada antara warganet yang secara lantang memuatnaik status dengan mengatakan “sudahlah pakai selipar, masa meeting boleh tanggal macam tu saja”.
Ketidakfahaman tentang etika pemakaian itu juga turut kelihatan menerusi beberapa komen balas netizen lain pada statusnya.
Berikutan itu, mStar kongsikan etika pemakaian penjawat awam pada majlis rasmi supaya anda tidak lagi berasa ‘aneh’ jika melihat capal dipakai terutama pada hari Jumaat!
Ia berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1985 bagi perkara ‘pakaian semasa bekerja dan semasa menghadiri upacara-upacara rasmi bagi pegawai-pegawai awam’.
Pakaian lelaki
1. Bagi pegawai-pegawai dalam Kumpulan A dan B, lounge suit atau bush-jacket dengan bahan kain yang sesuai; atau seluar panjang dengan baju kemeja dan bertali leher. Jika baju tersebut berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan.
2. Bagi pegawai-pegawai dalam Kumpulan C dan D, seluar panjang beserta baju kemeja dengan warna yang sesuai; baju hendaklah dimasukkan ke dalam; jika baju tersebut berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan.
3. Pakaian baju Melayu lengkap dengan bersamping atau, pakaian baju yang mirip dengan potongan baju Melayu dan dipakai dengan seluar panjang; pakaian baju Melayu dengan kain sarong tidak dibenarkan.
4. Pada hari Sabtu atau hari bekerja separuh hari, pegawai-pegawai awam yang tidak dikehendaki memakai pakaian seragam boleh memakai baju batik berlengan panjang atau pendek, dengan syarat baju batik yang dipakai itu adalah buatan Malaysia. ‘Jeans’ atau seluar pendek tidak boleh dipakai semasa bekerja.
5. Kasut kulit atau lain-laiu kasut yang sejenis dengannya. Capal boleh dipakai bersama pakaian baju Melayu yang lengkap dengan samping. Selipar, kasut getah dan kasut sukan tidak boleh dipakai semasa bekerja.
Pakaian wanita
1. Pakaian Kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing yang sesuai dipakai semasa bekerja. Jeans, slacks, seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup muka tidak boleh dipakai semasa bekerja.
2. Selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai boleh dipakai dengan pakaian yang ditetapkan; kasut sukan tidak boleh dipakai semasa bekerja.
Pakaian Seragam (Lelaki dan Wanita)
Pakaian seragam hendaklah sentiasa dipakai semasa bekerja bagi mereka yang dibekalkan dengannya
Pakaian batik (Lelaki dan Wanita)
1. Pegawai-pegawai awam yang menyertai rombongan ke luar negeri atas urusan rasmi ataupun dengan anjuran jabatan masing-masing hendaklah pada masa, tempat dan upacara yang sesuai dan jika dibenarkan, memakai batik buatan Malaysia.
Pegawai-pegawai awam adalah juga digalakkan memakai batik buatan Malaysia jika keadaan membenarkan apabila menyertai rombongan ke luar negeri dengan anjuran persatuan, pertubuhan atau koperasi masing-masing.
2. Pegawai-pegawai awam yang menghadiri sesuatu upacara, perjumpaan atau mana-mana jemputan, jika ditetapkan memakai batik, hendaklah memakai batik buatan Malaysia.