“Ex saya lagi bagus dari kau la” – Gara-gara status WhatsApp, isteri tak sangka suami merajuk sampai berbulan

“Ex saya lagi bagus dari kau la” – Gara-gara status WhatsApp, isteri tak sangka suami merajuk sampai berbulan
Lumrah manusia sentiasa ingin hidup berpasangan, termasuklah mereka yang pernah mengalami kegagalan dalam perkahwinan.
Jadi bukan perkara luar biasa sekiranya individu yang pernah bergelar janda atau duda kembali mendirikan rumah tangga setelah pernikahan terdahulu tidak dapat diselamatkan.
Begitu jugalah dengan wanita ini yang sudi menerima seorang duda sebagai suami.
“Saya kahwin dengan suami yang duda serta mempunyai seorang anak. Saya menerimanya dan anak dengan hati yang ikhlas dan terbuka.
“Keluarga saya tidak menuntut apa-apa hantaran. Perbelanjaan perkahwinan kami sediakan bersama namun saya lagi banyak mengeluarkan perbelanjaan kerana memahami situasi ekonomi suami pada ketika itu,” kongsinya di media sosial.
Wanita ini yang mempunyai kerjaya sendiri mengakui sejak berkahwin dia terpaksa mengorbankan gaya hidup mewahnya sebelum ini.
Pada masa yang sama, katanya, dia bersyukur apabila suami mendapat pekerjaan yang lebih baik.
Namun, lumrah perkahwinan setiap pasangan akan diuji dan mereka berdua berdepan dugaan dari segi kewangan menyebabkan sering berlaku pertengkaran.
“Suami jenis kerap melayani telefon dan tidak membantu menyelesaikan urusan kerja di rumah. Saya penat bekerja dalam masa yang sama kena jadi suri rumah.
“Kadang mental pun selalu ‘koyak’ menyebabkan saya selalu memarahi suami. Kami sering bertengkar terutamanya bab duit. Tapi saya tetap terima suami seadanya. Ada nafkah atau tiada saya memahami saja keadaan suami,” katanya.
Tambahnya, pada suatu hari akibat terlalu penat dia telah melepaskan kemarahan terhadap suaminya melalui status WhatsApp tetapi posting itu hanya boleh dibaca lelaki itu sahaja.
Bagaimanapun dia tidak menyangka suami begitu marah sehingga ke tahap berubah hati.
“Saya terlalu marahkan suami sehingga saya berkata dalam status WhatsApp perkataan yang dibenci suami seperti ‘lelaki tidak berguna, menyesal kahwin dengan awak bercerai saja la. Ex (bekas kekasih) saya lebih bagus dari kau la’.
“Akibat dari perkara itu, suami kata hati dia dah hancur sehingga dah tiada perasaan dekat saya. Saya minta ampun, menyesal. Akibat daripada masalah tu suami kerap tak balik rumah,” katanya.
Menurutnya, sejak kejadian itu suami tidak lagi memberikan nafkah makan minum kepadanya, namun masih membayar rumah sewa mereka.
“Dia abaikan sehinggakan saya dah tiada duit nak makan sedangkan suami pada ketika itu ada gaji dan sengaja tak bagi saya duit makan kerana masih hancur hati.
“Perkara ini sudah berlaruatan selama berbulan-bulan, suami tak nak bercakap dengan saya dan hari-hari saya minta ampun dengan suami,” katanya.
Wanita itu berkata, sejak kejadian itu juga suaminya hanya sibuk bermain permainan video dan berborak dengan kawan-kawan di telefon.
“Nafkah batin pun suami hanya sentuh saya bila dia nak saja. Lepas tu ‘blah’ macam tiada perasaan. Saya tetap jalankan tanggungjawab mengikut apa yang agama ajar.
“Namun, saya berhak ke dapat layanan macam tu hanya kerana satu kesilapan? Bekas isteri dia yang berkali-kali curang dan bertahun-tahun curang pun dia tetap maafkan dan pertahankan tapi kenapa saya tak di buat macam tu?” luahnya.
Wanita ini mengakui masih menyayangi suaminya dan sentiasa meminta diberi peluang untuk menjadi isteri yang lebih baik.