Ramai tak puas hati dengan sistem penilaian anak di sekolah, wanita ini kongsi tips contoh pelajar dapat TP6
Baru-baru ini tular keluhan ibu bapa mengenai sistem yang telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menilai pelajar melalui sistem Tahap Penilaian 1-6 (TP).
Bagi ibu bapa, sebaiknya KPM mengembalikan semula sistem yang lama dimana penilaian pelajar dilihat menerusi pencapaian peratusan markah didalam peperiksaan. Sistem TP yang dilaksanakan kata mereka seolah tidak selari dengan pencapaian anak-anak mereka.
Bagaimanapun, menurut seorang wanita, sistem TP bukanlah hanya fokus kepada keputusan ujian yang diduduki oleh pelajar sahaja malahan keseluruhan aspek diambil kira.
“Ramai yang tak puas hati dengan sistem TP ni. Susah nak dapat TP 6 katanya walaupun dapat markah 90 lebih belum tentu dapat TP 6,” tulisnya.
Kongsinya, penilaian pelajar juga dinilai melalui tugasan sekolah yang dihantar selain membantu rakan-rakan dalam kelas.
“Semua kerja sekolah dan tugasan kena hantar. Yang TP 5 tu adalah tugasan yang dia tak hantar tu. Bantu rakan-rakan dalam kelas. Ustazah ada bagi tahu, budak-budak yang pandai sikit akan diberi tugasan untuk bantu rakan-rakan yang lain,” katanya.
Selain daripada itu juga, para pelajar diminta untuk aktif menyertai pelbagai program, pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan di sekolah.
“Masuk pertandingan. Menang kalah lain cerita. Macam budak ni, tak terpilih pun dia offer diri nak masuk pertandingan. Dia masuk pertandingan ICT, Matematik, Dai, Scrabble dan lain-lain, Sains dia tak masuk. Tu yang dapat TP5.
“Kiranya untuk dapat TP 6 bukan setakat dapat A masa exam tapi kena aktif. Kalau tak masuk pertandingan bawah sekolah pun, masuk ja mana-mana pertandingan anjuran mana-mana badan yang boleh bagi sijil dan sijil tu diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan,” tulisnya.
Sementara itu di ruangan komen, ada ibu bapa yang bersetuju dengan sistem TP yang dibuat kerana lebih menampakkan usaha anak-anak memahami satu-satu subjek.