Ramai kurang jelas, ini 4 fakta tentang Bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)
Pada tahun 2018, kerajaan baru saja memperkenalkan tentang ‘Employee Insurance System’ (EIS) atau turut dikenali sebagai Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). Memandangkan ia merupakan satu skim baru, maka terdapat sesetengah pihak yang bersetuju dan tidak kurang menentang pelaksanaan ini kerana kurang jelas dengan cara ia dijalankan.
Bagi mengelakkan kekeliruan dan memperjelaskan mengenai Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ini dengan lebih mendalam, ini 4 fakta yang anda perlu tahu.
1. Tujuan Sistem Insurans Pekerja
EIS adalah Sistem Insurans Pekerjaan yang diwujudkan apabila beberapa majikan mula membangkitkan rasa bimbang kerana kurang peluang untuk berbincang dengan pihak berkepentingan. Pelaksanaan tersebut bakal memberikan kebaikan kepada majikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pekerja.
Antara tujuan ia dilaksanakan:
- Beri bantuan kewangan segera kepada pencarum yang hilang pekerjaan iaitu selepas 7 hari disahkan hilang kerja.
- Bantu pencarum mendapatkan pekerjaan baru termasuk dari segi bantuan mobiliti.
- Memberikan program latihan dan latihan vokasional kepada pencarum yang hilang pekerjaan.
2. Siapa yang patut bayar?
- Semua majikan sektor swasta perlu bayar caruman bulanan bagi setiap pekerja KECUALI penjawat awam, pekhidmat domestik dan yang bekerja sendiri.
- Semua pekerja berumur 18 tahun hingga 60 tahun perlu dicarumkan KECUALI pekerja berumur 57 tahun dan ke atas serta tiada caruman telah dibayar sebelum mencapai 57 tahun.
- Takrif liputan caruman adalah tertakluk kepada had siling gaji yang diinsuranskan (GYD) RM4,000.
3. Pengiraan Kadar Caruman
Kadar caruman bagi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) adalah daripada 0.2% syer majikan dan 0.2% syer pekerja daripada gaji bulanan pekerja. Kadar caruman adalah tertakluk kepada Jadual Kedua Seksyen 18 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017. Semua majikan sektor swasta perlu membayar caruman bulanan bagi setiap pekerja. (Dikecualikan kepada penjawat awam, pekhidmat domestik dan yang bekerja sendiri)
4. Siapa yang layak tuntut
Harus diingatkan, syarat kelayakan utama yang perlu dipenuhi oleh penerima faedah adalah mereka mesti mampu bekerja, bersedia untuk bekerja dan mencari pekerjaan secara aktif.
Semua pekerja yang diinsuranskan (dimaksudkan sebagai orang berinsurans) yang kehilangan pekerjaan kecuali:
- Perletakan jawatan secara sukarela oleh orang berinsurans;
- Tamat tempoh kontrak perkhidmatan orang berinsurans;
- Penamatan kontrak perkhidmatan atas persetujuan bersama majikan dan orang berinsurans tanpa terma dan syarat;
- Penyiapan kerja mengikut kontrak perkhidmatan;
- Persaraan orang berinsurans ; atau
- Penamatan kontrak perkhidmatan orang berinsurans disebabkan oleh salah laku.