Rakyat Malaysia makin kerap dihalang masuk Korea, wanita ini kongsi 5 tips penting untuk ‘lepas’ imigresen

Rakyat Malaysia makin kerap dihalang masuk Korea, wanita ini kongsi 5 tips penting untuk ‘lepas’ imigresen

 

Rakyat Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan penguatkuasaan pihak imigresen di Korea Selatan yang dikatakan semakin ketat dan rumit.

Sudah menghabiskan wang ribuan ringgit untuk membeli tiket, ramai rakyat Malaysia tidak dibenarkan masuk ke negara itu walaupun sudah sampai di lapangan terbang.

Dihantar pulang semula ke Malaysia, masalah dikatakan berpunca daripada limpahan rakyat negara ini yang mumutuskan untuk bekerja di situ tanpa memiliki permit sah.

Seorang pengguna Facebook kemudian berjaya mencuri tumpuan selepas berkongsi tips bagi dijadikan panduan sebelum melancong ke luar negara terutamanya Korea.

“Kebelakangan ini nampak macam ramai tak lepas (masuk korea). Ini tips daripada saya yang dibenarkan masuk selepas hanya lima minit berurusan dengan imigresen.

“Sempat berborak lagi dengan pihak imigresen sebab tak ramai orang di kaunter sewaktu giliran saya. Walaupun ini adalah kali pertama buat saya, tetapi semua urusan dipermudahkan.

“Jadi, inilah beberapa tips daripada saya berdasarkan pengalaman ketika melawat ke negara tersebut,” kata pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Elisa Zamri itu.

LIMA TIPS UNTUK ‘LEPAS’ IMIGRESEN KOREA

Pendapatan

Memandangkan ramai rakyat Malaysia datang ke Korea untuk bekerja secara haram, segelintir pihak imigresen negara itu mungkin mahu melihat maklumat pendapatan.

Pengunjung disarankan untuk menyediakan bukti yang sepadan dengan maklumat pendapatan dalam dokumen K-ETA (kebenaran Kembara Elektronik Korea Selatan).

Waktu masuk imigresen

Jika sampai ke Korea pada waktu malam, kemungkinan besar pihak imigresen yang letih bakal melepaskan pengunjung masuk ke negara mereka dengan lebih senang.

Situasi ini bagaimanapun mungkin boleh merumitkan lagi keadaan kerana pegawai yang terlibat mula mengantuk dan juga bertindak agresif ketika menyoal pengunjung.

Jaga penampilan

Tanpa mengira jenis pesawat yang dinaiki, pengunjung perlu menjaga penampilan. Tidak harus memakai pakaian mahal atau berjenama, cukup sekadar kemas sahaja.

Jangan bawa banyak ‘hand carry’, pelawat juga tidak digalakkan membawa plastik yang tidak penting. Cukup sekadar beg tangan wanita atau beg galas untuk lelaki.

Cetak jadual perjalanan

Jangan lupa cetak dahulu jadual perjalanan dengan terperinci dan berbincang dahulu dengan rakan (kembara kumpulan) mengenai perancangan tersebut sebelum terbang ke Korea Selatan.

Bertutur bahasa Korea

Pegunjung disarankan untuk belajar sedikit bahasa asas sebelum masuk ke Korea Selatan. Bukan sahaja memudahkan urusan, langkah ini juga mampu mengambil hati ‘ahjumma’ Korea.