Rakyat Malaysia kantoi menipu di hospital Sydney

Rakyat Malaysia kantoi menipu di hospital Sydney

 

Seorang wanita warga Malaysia yang gagal dalam pengajiannya dijatuhi hukuman khidmat masyarakat selama dua tahun didapati menipu untuk bekerja sebagai pelatih perubatan, di sebuah hospital di Sydney, Australia.

Lee Zhin Sin, 27, digambarkan sebagai seorang “penipu dan semborono” kerana dengan berterusan sengaja “berpura-pura bekerja dalam syif hari demi hari,”

Lee yang gagal menamatkan pengajian di University of New South Wales (UNSW), juga dikenakan denda sebanyak AUD10,000 dan diperintah membayar AUD3,400 kepada Agensi Peraturan Pengamal Kesihatan Australia (AHPRA), sebagai kos profesional.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dengan memberikan khidmat kepada masyarakat melalui Perintah Pembetulan Intensif, kata laporan media.

Lee Zhin Sin

Lee memohon maaf atas tindakannya tetapi berkata dia berada di bawah banyak tekanan daripada keluarganya di Malaysia yang membayar lebih A$348,000 untuk ijazahnya, menurut news.com.au.

Lee gagal dalam peperiksaan akhir, bagaimanapun berjaya menempatkan dirinya sebagai pelatih perubatan di Hospital Bankstown-Lidcombe, pada Jan 2020.

Walaupun tidak mempunyai kelayakan sebagai pelatih, Lee sudah menghabiskan 126 syif sebelum kakitangan hospital menyedari berlaku sesuatu tidak kena selepas lapan bulan. Susulan itu, dia dipecat.

Lee mengaku salah di Mahkamah Sydney, pada Disember, dan dikenakan hukuman itu, semalam.

“Ada banyak faktor menjurus kepada perkara itu, tetapi saya memohon maaf dan sangat menyesal,” katanya menurut laporan itu.

Majistret Glenn Bartley yang menjatuhkan hukuman berkenaan, berkata wanita itu seorang “penipu dan semborono” yang “berpura-pura bekerja dalam syif hari demi hari”

Bartley berkata ia disengajakan dan Lee tahu dia telah mengelirukan hospital dan bekerja kerana penipuan itu. “Tahap risiko tanpa kelayakan adalah penting di hospital awam dalam sistem yang tidak sempurna di tengah-tengah pandemik,” katanya.