[ RAKAMAN ] Kes AWAN Teluk Intan : Mereka cetus provokasi sebelum rempuh masuk bilik mesyuarat kata sumber

[ RAKAMAN ] Kes AWAN Teluk Intan : Mereka cetus provokasi sebelum rempuh masuk bilik mesyuarat kata sumber

Isu berkenaan seorang anggota Angkatan Wanita (AWAN) AMANAH Teluk Intan yang mendakwa diri mereka dikasari mendorong saksi kejadian mendedahkan bukti untuk menjelaskan keadaan.

Dalam satu kiriman yang diterima, sumber yang enggan dikenali berkata, beliau menerima rakaman bagaimana individu berkenaan membuat provokasi sebelum mengambil tindakan merempuh masuk bilik mesyuarat bagi siasatan kes pendaftaran cawangan palsu diadakan oleh Jawatankuasa Siasatan.

Video berdurasi 14 saat itu merupakan sebahagian rakaman penuh yang diberikan sumber bagi menceritakan keadaan sebenar sebelum rempuhan dilakukan.

Nama salah seorang ahli Jawatankuasa Siasatan, Norhayati Bidin disebut individu terbabit sebagai salah seorang yang tidak disenangi beliau.

Menurut sumber ada sebahagian daripada mereka tidak mempunyai kaitan dengan prosiding siasatan tetapi bertindak untuk mengganggu siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa yang dibentuk oleh pimpinan nasional dalam menyelesaikan masalah tersebut.

“Isu asal adalah penipuan dan pemalsuan dokumen, tetapi disebabkan mereka tetap mahu mengatakan mereka benar, kekecohan dirancang dengan cukup jahat”, kata sumber.

Tambahnya lagi,”mereka tidak akan berani seperti ini sekiranya tidak ada yang ‘payung’, dan kita akan dedahkan lebih banyak bukti sekiranya mereka terus memanipulasi fakta dan bermain kotor”.

Kes tersebut mula kecoh selepas individu terbabit menggunakan laman facebook sayap parti tersebut untuk menyebarkan dakwaan terdapat salah seorang daripada kalangan mereka ditumbuk ketika pergelutan berlaku.