Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara lancar nombor pendaftaran kenderaan UG

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara lancar nombor pendaftaran kenderaan UG

 

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat mencemar duli meraikan Majlis Sambutan Aidilfitri dan Sambutan Permasyhuran 25 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Baginda yang juga Canselor UPSI turut berkenan melancarkan siri nombor pendaftaran kenderaan UPSI iaitu UG yang bermaksud Universiti Guru pada majlis di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Pelancaran nombor pendaftaran kenderaan UG tersebut disaksikan lebih 5,000 tetamu terdiri daripada pelajar, warga universiti, ketua-ketua jabatan, penduduk sekitar Muallim serta pesara dan alumni UPSI.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dalam sembah ucapan berkata, UPSI menyasarkan untuk muncul sebagai universiti 100 paling cemerlang di dunia dalam bidang pendidikan.

“Tahun ini genaplah 25 tahun penubuhan universiti yang ulung lagi bersejarah ini. Tanggal keramat 1 Mei 1997, Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dinaik taraf menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Mei 1997.

“Kini UPSI ditunjangi sembilan fakulti dan Institut Pengajian Siswazah (IPS) yang menawarkan lebih 150 program pengajian pra dan pasca siswazah selaras dengan perkembangan dan keperluan pendidikan pengajian tinggi negara,” katanya, memetik laporan Kosmo.

Md. Amin berkata, sejak ditubuhkan banyak kejayaan dicapai UPSI termasuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Data Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Muzium Pendidikan Nasional, Adventure Leadership & Outdoor Leadership Academy (AURORA), UPSI Adventure Park (UAP), Sekolah Pondok Bitara, Center of Pedagogical Research & Innovation (CPRI), Zaaba Studio dan Pusat Pendidikan Hijau yang menjadi rujukan dalam dan luar negara.

Tambah beliau, UPSI malah diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Keluarga Malaysia dan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Automotif Negara (CAART)

Sehubungan itu, katanya, UPSI akan bersama Proton – Geely, DRB Hicom dan industri setempat yang diharapkan dapat membantu industri automotif negara di samping memacu kemajuan ekonomi di daerah Muallim.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata, pendidik lepasan UPSI melakar pelbagai kejayaan sepanjang 25 tahun untuk membina legasi dan kemasyhuran sehingga di peringkat antarabangsa.

“Saya ingin melihat hubungan kerjasama UPSI dengan kerajaan Perak sentiasa diperkukuh dalam memartabatkan bidang pendidikan anak-anak Perak termasuk anak Orang Asli menerusi pakar-pakar UPSI dengan kerjasama Northern Corridor Economic Region (NCER),” katanya.