‘Rahsia kedegilan’ Muhyiddin dibongkar dalam satu wawancara tanpa disedari?
Kenyataan Dr Jemilah Mahmood bahawa kekurangan ujian besar-besaran di negara ini sebagai kelemahan utama dalam strategi pengurusan wabak, membuktikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak mendengar cadangan penasihatnya itu, kata bekas menteri kesihatan.
Dalam catatan di Twitter, Dr Dzulkefly Ahmad menjawab kenyataan Jemilah itu yang dibuat dalam wawancara kesihatan.
“Satu hal syor-syor kami STFC (Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor) tidak didengari. Tapi pendedahan Tan Sri Jemilah Mahmood ini bukti PM-8 (Muhyiddin) juga tidak dengar penasihatnya.”
Bagaimanapun, Jemilah menjawab pada ciapan itu bahawa isu berkaitan FTTIS (cari, uji, kesan, asing, sokong) tidak perlu dipolitikkan.
“FTTIS memang dalam proses diperbaiki. Tidak semua negara termasuk di barat mempunyai sistem yang baik dan saya yakin (sistem kita) akan diperkuatkan lagi,” katanya.
“Harap semua pihak bekerjasama menentang Covid”.
Ujian saringan besar-besaran Covid-19 digesa untuk dilakukan oleh pelbagai pihak sepanjang gelombang ketiga wabak, iaitu tempoh Muhyiddin menjadi perdana menteri sehingga peletakan jawatannya minggu lalu.
Sejak sebulan lalu, dalam pada kes harian meningkat, hampir 10% semua ujian dilakukan menunjukkan positif, jauh melebihi 5% yang ditetapkan sebagai nilai ambang maksimum Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Ini seterusnya membayangkan banyak kes yang tidak dikesan dalam komuniti.
“Masakan boleh beliau (Muhyiddin) dakwa telah lakukan yang terbaik?” soal Dzulkefly sambil berkata sama ada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga akan melakukan perkara sama seperti Muhyiddin.
Dalam wawancara itu Jemilah berkata, semakin ekonomi dibuka, pelan ujian, pengesanan, pengasingan dan sokongan yang lebih berkesan mesti dilaksanakan.
Katanya, ini penting dalam pada negara beralih kepada pendekatan mengurangkan kesan virus berbanding pembendungan.
Ini juga akan membolehkan pihak berkuasa kesihatan hanya memperkenalkan strategi pembendungan secara bersasar dan apabila diperlukan.
Sumber: FMT