“Quran is crystal clear”, Will Smith dedah sudah baca al-Quran sepanjang Ramadan

“Quran is crystal clear”, Will Smith dedah sudah baca al-Quran sepanjang Ramadan

 

Dunia dikejutkan dengan pendedahan bintang Hollywood, Will Smith yang sudah mula membaca al-Quran dari awal hingga akhir sejak bulan Ramadan tahun lepas.

Memetik Daily Sabah, Smith membuat pendedahan itu semasa dalam satu temu bual bersama wartawan Mesir, Amr Adeeb di rancangan Big Time Podcast pada baru-baru ini.

“Saya sangat suka kesederhanaannya, al-Quran begitu jelas, ia amat jelas. Sukar untuk terjadi salah faham.

“Semangatnya begitu indah dan jelas,” katanya.

Menurut pelakon filem Alladin itu, dia sangat terkejut dengan persamaan di antara kitab suci Islam, Kristian dan Yahudi

“Saya terkejut bagaimana ia seperti satu kisah, dari Torah melalui Bible dan ke al-Quran. Saya tidak pernah sepenuhnya memahami Abraham sebagai bapa dan kemudian perpecahan dengan Isaac dan Ishmael dan amat indah untuk memahami itu dengan lebih baik,” ujar Smith.

Smith yang dulu pernah tular menampar Chris Rock di pentas Oscar dua tahun lalu mengatakan dia kini kembali kepada semangat untuk menangani cabaran yang dia alami.

Selepas pergaduhan itu, Akademi Filem Bergerak mengharamkan Smith daripada menghadiri Oscar atau mana-mana acara akademi lain selama 10 tahun.

Smith sebelum ini juga telah meminta maaf kepada Rock dalam satu kenyataan selepas acara terulung itu dengan mengakui kesalahannya yang bertindak melampaui batas.