Puteri Sarah saman Ira Kazar!

Puteri Sarah saman Ira Kazar!

 

SELEPAS lama berdiam diri, akhirnya pelakon Puteri Sarah Liyana memulakan tindakan saman terhadap Ira Kazar yang didakwa menjadi orang ketiga menganggu rumah tangganya bersama pengarah Syamsul Yusof.

Menurut Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 36, tindakan saman ini adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan semua kemelut selepas empat tahun memendam perasaan.

“Empat tahun saya berdiam kerana mahu beri peluang. Kalau boleh nak selesaikan masalah ini tanpa melibatkan mahkamah dan tak perlu satu Malaysia tahu. Apabila sudah sampai tahap begini saya rasa ia biadab.

“Memang selama ini ada niat hendak ambil tindakan, tetapi masa itu saya asyik terfikir apa akan terjadi kepada saya, perkahwinan dan keluarga.

“Selepas pulang dari umrah saya sangat yakin dengan keputusan ini. Saya juga ada buat solat istikharah dan nampak jalan apa yang harus dilakukan,” katanya, memetik mStar.

Puteri Sarah ditemui media di perkarangan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Shah Alam pada pagi Khamis.

Dia hadir bagi membuat aduan berkaitan rumah tangganya ke jabatan itu.

Sebelum ini, Sarah sendiri mendedahkan Ira menyebabkan hubungan rumah tangganya bergolak.

Bukan sekadar didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Syamsul, Ira juga dikatakan mengganggu kehidupan Sarah sendiri dengan menghantar pelbagai ugutan melalui pesanan di sosial media.

Sarah melalui peguamnya menfailkan saman terhadap Ira di mahkamah sivil pda 26 Jun lalu dan wanita tersebut sudah menerima surat arahan supaya menghentikan sebarang bentuk gangguan dua hari kemudian.

Kes ini akan mula dibicarakan di mahkamah pada 4 Julai depan.

Lega dengan keputusan membawa kes ini ke mahkamah, Sarah juga berharap ia dapat membuka jalan buat mana-mana wanita yang mengalami nasib sama untuk melakukan tindakan terbaik.

“Saya buat semua ini untuk diri sendiri dan keluarga. Sampai bila saya mahu dipijak-pijak.

“Jadi kepada sesiapa yang nak sondol (rampas) selepas ini perlu lebih berhati-hati. Saya mahu pertahankan perkahwinan dan perjuangkan hak sendiri.

“Kalau dah ambil orang punya duduk diam-diam, jangan ambil dan canang sana-sini serta kacau keluarga orang lain,” jelasnya.

Dalam permohonan yang dibuat, Sarah mahu Ira tampil memohon maaf dan berhenti daripada melakukan sebarang tindakan gangguan terhadapnya.

Sementara itu Sarah enggan memberi komen lanjut tentang hubungan dia dan Syamsul dan memberitahu suaminya itu ada datang melawat ketika anak-anak mereka dimasukkan ke hospital, baru-baru ini.

Syamsul dan Sarah mendirikan rumah tangga pada Mac 2014 dan pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Summayah, 2.