Pura-pura tanya kes cabul, dua pelajar IPT ditahan dipercayai terlibat kes serangan balai polis

Pura-pura tanya kes cabul, dua pelajar IPT ditahan dipercayai terlibat kes serangan balai polis

 

Beberapa lagi suspek dipercayai terbabit dalam insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram termasuk seorang wanita.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebelum insiden serangan berkenaan berlaku, seorang lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 21 tahun datang ke balai polis tersebut untuk bertanyakan tentang siasatan kes cabul dua tahun lalu.

Kedua-dua mereka merupakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Polis tidak menolak kemungkinan kehadiran dua orang pelajar itu untuk mengalihkan perhatian anggota polis dan dalam masa yang sama, suspek yang menaiki motosikal memasuki balai polis.

“Anggota polis yang menyedari kejadian itu segera menahan suspek sebelum lelaki itu bertindak menetak anggota ada leher sebanyak tiga kali.

“Anggota polis itu rebah lalu suspek merampas senjata api dan melepaskan tembakan ke arah anggota lain yang berada di dalam balai berkenaan.

“Salah seorang anggota polis yang berada di lokasi kejadian maut akibat terkena tembakan pada pipi dan tembus kepala,” katanya.

Dalam pada itu Razarudin memaklumkan, seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan pada bahu akibat terkena tembakan. Anggota polis itu kemudiannya membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan menembak mati suspek.

Jelas beliau, anggota tersebut mengalami kecederaan dan dilaporkan stabil di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Katanya, polis tidak tidak menolak kemungkinan serangan berdarah itu dipercayai bermotifkan untuk merampas senjata api untuk melakukan serangan ke atas anggota keselamatan.