Bukan sebab curang, ini punca rumah tangga Fazura & Fattah Amin retak

Bukan sebab curang, ini punca rumah tangga Fazura & Fattah Amin retak

 

Tiada persefahaman menjadi punca kepada keretakan rumah tangga pasangan selebriti Nur Fazura dan Fattah Amin sehingga mendorong Fazura memfailkan cerai terhadap suaminya itu.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh peguam syarie yang mewakili Nur Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan yang turut menegaskan curang bukan faktor kepada keruntuhan mahligai pasangan itu.

“Selepas permohonan cerai dibuat Fazura dan Fattah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Malah dalam permohonan cerai yang dibuat tiada langsung menyebut isu berkaitan curang, sebaliknya antara mereka tiada persefahaman,” ujarnya.

Fakhrul menjelaskan Fazura dan Fattah mahu menyelesaikan konflik rumah tangga dengan cara baik tanpa mengaibkan mana-mana belah pihak.

Pun begitu, keadaan bertambah buruk apabila ada individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin tidak sahih di media sosial berkaitan kemelut pasangan itu.

“Semuanya berpunca daripada individu yang membuat kenyataan di media sosial terhadap perkara yang kami tak pernah cakap.

“Kedua-dua pihak sebolehnya mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka tanpa mengaibkan mana-mana pihak,” katanya.

Hari ini, aktor Fattah Amin enggan untuk menceraikan isterinya ketika sebutan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk perbicaraan yang selanjutnya.

Sekadar info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.