Puji rakyat Jepun bawa bento, tapi ketawa bila lihat murid bawa mangkuk tingkat

Puji rakyat Jepun bawa bento, tapi ketawa bila lihat murid bawa mangkuk tingkat

Tular baru-baru ini sekeping gambar seorang pelajar yang sedang menikmati makan tengah hari yang disediakan oleh ibunya. Apa yang uniknya adalah bekas makanan yang dibawa pelajar terbabit disediakan di dalam mangkuk tingkat.

Gambar itu sebenarnya adalah gambar biasa yang menunjukkan situasi ketika waktu persekolahan. Di mana seorang pelajar sekolah menikmati makan tengahari yang disediakan oleh ibunya.

Namun siapa sangka, dari sekeping gambar biasa, ia telah menjadi medan netizen untuk meninggalkan mesej sindiran kerana pelajar itu menikmati makanan tengahari menggunakan mangkuk tingkat.

Ada sesetengah daripada mereka yang meninggalkan mesej jelek di beberapa halaman Facebook yang bertanggungjawab menyebarkan gambar terbabit. Manakala sesetengah lagi sampai menghina.

Tidak pasti mengapa perkara ini boleh dijadikan bahan sindiran atau hinaan, sedangkan penggunaan mangkuk tingkat adalah sangat dekat dengan budaya masyarakat kita.

Salah seorang pengguna Twitter dengan nama Qysha berkata, “mangkuk tingkat pun warisan yang patut dikekalkan. Kalau di Jepun bangga dengan bento yang dibalut dengan kain. Jadi, apa salahnya orang kita bawa mangkuk tingkat sebagai bekal?”

Manakala bagi Adil Rafael, dia mengkritik orang yang bertanggungjawab mengambil gambar terbabit dan halaman Facebook yang menyebarkan gambar tersebut.

“Tengoklah dah jadi “laughing stock” netizen. Tak rasa bersalah ke pada budak tu atau mak bapak diorang? Tak rasa bersalah ke ambik gmbar masa tengah berkerja dan sesuka je post? Wahai parents tak rasa bersalah ke viralkan gambar yang bukan kita punya.”

Perkara ini turut dibahaskan oleh Dr. Dominic Lau di dalam ciapannya di laman Twitter di mana dia menyatakan tidak menjadi satu kesalahan apabila pelajar terbabit membawa bekal di dalam mangkuk tingkat.

“Kita tidak seharusnya menghina/pandang rendah kepada sesiapa. Ini harus diperkenalkan dalam sistem pendidikan sejak peringkat sekolah rendah. Ini menunjukkan kepada saya betapa ibu bapanya berusaha keras untuk memastikan anak mereka mempunyai makanan,” katanya.

Untuk rekod, sesi persekolahan secara bersemuka untuk sesi tahun 2021 baru sahaja di buka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lalu. Ini menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard. – TV