PRU15: Anwar dijangka bakal bertanding di Perak

PRU15: Anwar dijangka bakal bertanding di Perak

 

PKR Perak menawarkan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, tawaran itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR negeri baru-baru ini, sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan negeri ini.

Menurutnya, kehadiran nama besar seperti Anwar di negeri ini memudahkan PKR untuk menawan Perak.

“Presiden sangat responsif dan positif dengan pelawaan itu. InsyaAllah kita tengok nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Peduli Rakyat Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut Farhash Wafa, pelawaan seperti itu adalah perkara biasa bagi mana-mana parti sekalipun yang mahukan nama besar untuk datang ke negeri ini.

Beliau berkata, kehadiran Anwar di Perak akan memudahkan parti itu untuk menawan Perak dalam PRU-15.

“Negeri Sembilan merupakan salah satu kubu buat PKR, jadi, kami yakin jika kami sebuah parti heavyweight, kami kena keluar menerokai tempat baharu.

“Sama macam peperangan, anda harus keluar untuk menakluk, jadi Perak ini  kita boleh takluk,” katanya.

Menurutnya, Selangor merupakan negeri teraju buat PKR apabila satu pertiga daripada ahli parti itu datang dari negeri itu, malah jumlah Ranting atau cawangan di Selangor juga adalah yang  tertinggi.

Katanya, namun Perak tidak ketinggalan jauh dari segi jumlah Ranting, iaitu yang kedua tertinggi di belakang Selangor.

“Ini menunjukkan kami serius dan komited untuk ambil alih negeri ini malah kalau dilihat dalam kalangan parti dalam PH Perak, PKR mendahului dari segi jumlah cawangan, kita juga mendahului dari segi peningkatan keahlian tapi dari segi kerusi DUN, kita tak terlalu menonjol namun kami yakin akan ambil alih dalam PRU-15,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai nama beliau yang dikaitkan sebagai calon Menteri Besar Perak jika PH menang PRU-15, Farhash Wafa berkata, perkara itu bukan keutamaan ketika ini.

“Soal Menteri Besar ini tidak penting bagi saya. Lebih penting ialah gerak kerja kita untuk menawan Perak,” katanya.

Sumber: Utusan