Provok pengguna lain di Lebuhraya KL-Karak, polis kesan pemandu MPV pembuli ada 56 saman

Provok pengguna lain di Lebuhraya KL-Karak, polis kesan pemandu MPV pembuli ada 56 saman

 

Polis sedang memburu seorang pemandu Toyota Alphard yang dirakam memandu secara berbahaya dan berlagak samseng sehingga tular di media sosial, hari ini.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi kenyataan memaklumkan video berkenaan memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard warna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, pemandu Toyota Alphard itu juga dilihat melakukan tindakan membuli pengguna jalan raya lain ketika kejadian.

“Tindakan pemandu ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Semakan JSPT mendapati kejadian berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) pada 30 April lalu (Sabtu).

Katanya, polis sudah menjalankan semakan dan pemilik kenderaan itu juga telah dikenal pasti.

“Pemandu ini diminta segera menyerah diri ke Balai Trafik IPD Gombak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Tular video berdurasi 2.25 minit memaparkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard warna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya yang lain dan tular di laman sosial Facebook.