Projek Pembangunan Ladang Hutan 400 hektar di Perak, pihak kampung tak bersetuju

Projek Pembangunan Ladang Hutan 400 hektar di Perak, pihak kampung tak bersetuju

Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan permit penggunaan bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan dalam Hutan Simpan Piah seluas 400 hektar yang berhampiran dengan Mukim Temelong dan Mukim Kota Tampan pada 8 Jan 2019.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kelulusan berkenaan adalah kelulusan dasar kerana ianya tertakluk kepada laporan kesesuaian yang akan disediakan oleh Pejabat Hutan Daerah dan kelulusan EIA.

“Pada masa ini pihak Pejabat Hutan Daerah sedang menyediakan laporan kesesuaian dan “sosial impact assessement” manakala pihak syarikat belum lagi menyediakan laporan EIA.

Walau bagaimanapun, pihak jabatan sedar tentang bantahan daripada tiga (3) kampung yang terletak berdekatan dengan kawasan kelulusan ini”, katanya dalam satu sidang media di Pejabat Setiausaha Negeri Perak, pagi tadi.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, selain daripada kelulusan Syarikat Padat Megah ini, terdapat dua lagi kelulusan permit penggunaan bagi pembangunan Ladang Hutan di kawasan berdekatan masing-masing berkeluasan 400 ha.

“Satu konsultasi bersama orang kampung telah diadakan dan dua kampung ini pada dasarnya telah bersetuju dengan pelaksanaan projek ini manakala satu lagi kampung masih tetap tidak bersetuju dengan projek tersebut.

“Sehubungan dengan itu, pihak jabatan telah mencadangkan kepada ketiga-tiga syarikat tersebut untuk menukar kawasan kelulusan dengan kawasan lain yang lebih sesuai”, katanya

Terdahulu, Ahmad Faizal menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Sekreteriat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan kerjasama Syarikat redONE Network Sdn Bhd menerusi inisiatif ‘Rakan Niaga Telco’.

Sumber: Perak Today