Projek loji solar Bidor wujud peluang pekerjaan

Projek loji solar Bidor wujud peluang pekerjaan

 

Projek solar berskala besar Ranhill Solar 1 di Ladang Bikam, Bidor di sini, yang akan bermula tahun hadapan, dijangka menyediakan peluang pekerjaan selain membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila siap dalam tempoh 18 bulan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek yang dilaksanakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan tenaga solar Ranhill Solar 1 Sdn Bhd, anak syarikat milik sepenuhnya Ranhill Utilities Berhad (RUB), akan menjadi pemacu kepada penghasilan tenaga boleh diperbaharui di negeri itu.

Beliau berkata pembangunan projek tersebut termasuk kerja-kerja reka bentuk, pembekalan, pembinaan, pemilikan, pengoperasian dan penyelenggaraan Loji Fotovoltan Solar Skala Besar berkapasiti 50MWac, bagi membekalkan tenaga elektrik selama 21 tahun mulai 2023.

“Ladang solar berpotensi untuk menyediakan tenaga bersih bagi memberi sokongan kepada perindustrian, pertanian dan memberi manfaat kepada ekonomi yang lebih luas, khususnya di daerah Bidor.

“Penggunaan tenaga amat penting dan agak tinggi di negara ini. Tanpa tenaga, aktiviti ekonomi tidak mampu berjalan secara efisien dan berterusan.

“Dua sumber utama tenaga iaitu 78 peratus daripada gas dan bahan api yang perlu dibeli, manakala selebihnya daripada tenaga lestari,“ katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah projek berkenaan di sini hari ini.

Saarani berkata pembinaan loji solar yang berkeluasan 73 hektar itu secara tidak langsung mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan negeri ini sebagai antara negeri rendah karbon menjelang 2030.

“Penghasilan tenaga hidro sering dikaitkan dengan ancaman kepada alam sekitar dan juga komuniti berdekatan, malah sungai-sungai yang menjadi sumber air bagi masyarakat Orang Asli akan terganggu, selain menjejaskan ekosistem hutan.

“Teknologi dalam industri tenaga solar dilihat sebagai industri yang sentiasa berkembang maju dan peningkatan penggunaannya juga akan terus berlaku pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, pencemaran berkaitan tenaga solar adalah jauh lebih rendah berbanding sumber tenaga yang lain,“ katanya.

Sementara itu, Presiden Ranhill Tan Sri Hamdan Mohamad berkata pemilihan Perak untuk projek berkenaan adalah disebabkan kedudukan geografi tapak yang mempunyai kadar penyinaran tinggi bagi penjanaan maksimum kepada ladang solar.

“Selain itu, tahap permukaan tanah, struktur geografi, keluasan tanah dan jarak ke pencawang elektrik juga diambil kira dalam pemilihan tapak projek,“ katanya, memetik Bernama.

Difahamkan projek tersebut tidak menghasilkan sebarang kesan radiasi dan pemanasan kepada penduduk sekitar, sekali gus tidak memberi kesan kesihatan.