‘Projek’ hisap dadah terbantut

‘Projek’ hisap dadah terbantut

 

Hasrat dua rakan lelaki dan perempuan menghisap dadah bersama di dalam sebuah bilik hotel tidak kesampaian apabila diberkas polis, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dan wanita dari Indonesia berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Sitiawan pada pukul 12.05 tengah malam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menyerbu sebuah bilik diinap kedua-dua suspek.

“Hasil pemeriksaan menjumpai satu peket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis heroin beranggaran 28.18 gram dan lima peket plastik lutsinar diisi bahan yang disyaki dadah jenis syabu beranggaran 21.42 gram,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dadah tersebut ditemui dalam beg milik lelaki tersebut ketika beg itu diperiksa di hadapan kedua-dua suspek.

Beliau menjelaskan semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai dua rekod jenayah lampau serta baru sebulan berjinak-jinak sebagai pengedar dadah.

Tambahnya, saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39 A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.