Produk yang dianggap pelik tapi tetap laku, botol berisi udara segar ini dijual RM425
Ini bukanlah sekadar gurauan atau strategi pemasaran, tapi ia adalah produk sebenar.
Sebuah syarikat di Britain mengundang kontroversi apabila menjual botol kaca yang didakwa berisi udara pesisir paling segar pada harga mencecah £75 (RM425), lapor Odditycentral.
Syarikat Coast Capture Air pada mulanya menjual udara dalam botol sebagai cenderahati dengan matlamat mendidik masyarakat tentang kepentingan udara segar di zaman moden yang penuh dengan pencemaran.
Syarikat itu menekankan bahawa udara yang bersih dan bebas dari pencemaran adalah ‘suatu kemewahan’ yang menyebabkan penduduk dari kawasan tercemar di seluruh dunia mula membelinya untuk tujuan praktikal, menghirup udara pantai yang bersih setiap hari.
Namun, apa yang mengejutkan apabila Coast Capture Air meneruskan penjualan botol yang mengandungi udara dengan meletakkan harga tinggi iaitu RM425 sebotol berkapasiti 700ml .
Coast Capture Air bukanlah satu-satunya syarikat di dunia yang menjual ‘udara segar’.
Anda mungkin pernah mendengar jenama seperti Vitality Air – yang menjual udara segar dalam tin dari Pergunungan Kanada atau Air de Montcuq yang menjual udara dari desa Perancis.
Ini hanyalah dua daripada pelbagai perusahaan udara dalam tin atau botol, tetapi apa yang membezakan Coast Capture Air berbanding yang lain adalah harganya.
Menurut Coast Capture Air, para pekerjanya berusaha keras memastikan udara yang disimpan di dalam botol itu adalah paling segar di Cornwall, England.
“Setiap botol kaca Coast Capture Air diisi udara segar dari kawasan pesisir semula jadi di Britain,” demikian menurut penerangan di laman webnya.
Laman web itu turut memberitahu pengguna berhubung cara terbaik menghirup udara segar tersebut, iaitu dengan menikmatinya di lokasi yang senyap dan tenang.
Sebelum menghirupnya, pengguna perlu menghembus hidung mereka, menarik nafas menggunakan diafragma dan memastikan menutup semula botol selepas selesai menggunakannya.
Mereka juga mendakwa, sentiasa memantau dan mengukur setiap botol udara yang dijual. Menggunakan peralatan yang sensitif untuk memastikan keaslian setiap botol, itulah yang membezakan mereka dengan yang lain.
Sumber: Odisi, Suara