Produk ‘salted egg salmon skin’ viral disita, guna logo halal tidak sah

Produk ‘salted egg salmon skin’ viral disita, guna logo halal tidak sah

 

Sebuah premis memproses produk makanan ringan popular diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selepas disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

Serbuan dilakukan pada Isnin susulan maklumat awam di Kawasan Industri Jelapang, Ipoh Perak, membabitkan makanan produk salmon skin salted egg.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, premis itu sedang beroperasi dengan memproses makanan produk tersebut.

Menurutnya, siasatan lanjut kemudiannya menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal.

Screenshot 2024 03 05 155700

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal. Semakan awal mendapati logo halal ini digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah,” katanya.

Katanya lagi, pengurus premis terbabit turut gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakuan oleh pihak berkuasa apabila diminta oleh pihak KPDN.

Susulan itu, KPDN menyita kesemua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Difahamkan, nilai keseluruhan barang rampasan adalah dianggarkan berjumlah RM88,582.50.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan,” katanya.

Tambah beliau, produk makanan ringan itu dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan oleh ramai pengguna.