Produk Gardenia naik harga mulai 1 Dis

Produk Gardenia naik harga mulai 1 Dis

 

Pengeluar roti tempatan Gardenia Bakeries telah menyemak semula harga runcit dan pengguna bagi kebanyakan produknya.

Dalam surat yang ditujukan kepada peruncit, syarikat itu berkata, kenaikan harga pelbagai roti dan produk bakeri lain akan berkuat kuasa mulai 1 Dis.

Menurut Gardenia, kenaikan harga itu akibat peningkatan kos bahan mentah dan caj pengangkutan.

Harga baharu untuk pengguna termasuk RM2.80 bagi sebuku Gardenia Original Classic 400g, naik daripada RM2.50.

Gardenia Original Classic Jumbo 600g pula berharga RM4, naik daripada RM3.55, manakala harga roti Gardenia Bran & WheatGerm 400g, yang kini RM2.50 akan dinaikkan kepada RM2.90.

Produk lain yang terbabit termasuk Gardenia Fluffy Buns (RM3.70) dan Gardenia Puazz Buns (RM1.30).

Ketika dihubungi FMT bagi mendapatkan komen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ia masih belum menghubungi Gardenia, dan pihaknya akan bertemu pengurusan Gardenia esok sebelum mengeluarkan kenyataan.

Gardenia bukan satu-satunya pembekal hasil makanan yang menyemak atau menaikkan harganya, dengan harga sayur-sayuran turut meningkat baru-baru ini.