PRK Gerik: Beri kemenangan percuma, terserah pada parti lain – Umno Bahagian Gerik

PRK Gerik: Beri kemenangan percuma, terserah pada parti lain – Umno Bahagian Gerik

UMNO Bahagian Gerik menyerahkan kepada parti-parti lain untuk memberi kemenangan percuma kepada parti itu sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik diadakan ekoran pemergian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman pada Isnin.

Pemangku ketuanya, Datuk Aznel Ibrahim berkata, walaupun cadangan itu datang daripada DAP, tetapi mungkin ada parti lain yang berbeza pandangan.

Menurutnya, selaku Pemangku Ketua UMNO bahagian itu, pihaknya bersedia di dalam apa juga keadaan, jika berlaku pertandingan.

“Itu pandangan parti DAP, jadi kita kena lihat daripada parti-parti lain yang mungkin tidak sependapat dengannya dan mungkin berpendapat perlu ada pertandingan,” katanya di sini.

Pada Selasa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa semua parti politik agar tidak meletakkan calon dan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada UMNO di Gerik.

Guan Eng berkata, cadangannya itu dibuat bertujuan mengekang risiko penularan wabak COVID-19 semasa pilihan raya kecil.

Aznel yakin, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang, pucuk pimpinan UMNO juga akan membuat satu keputusan yang terbaik.

Menurutnya, sejak dari dahulu lagi, Parlimen Gerik dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu dan Temengor dikuasai oleh UMNO / Barisan Nasional (BN), dengan majoriti yang selesa.

“Jika semua parti memikirkan masalah COVID, kepentingan orang ramai atau mungkin tempat ini dari dulu lagi memang dikuasai BN, mungkin mereka boleh mempertimbangkan sama ada perlu meletakkan calon ataupun tidak,” ujarnya.

Allahyarham Hasbullah, 63, meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang, pada Isnin kerana serangan jantung.

Allahyarham mula bertanding di DUN Temengor ketika Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) 2004, mengalahkan calon PKR dengan majoriti 4,666 undi dan mempertahankan kerusi itu semasa PRU-12 dengan menewaskan calon PKR juga dengan majoriti 4,617 undi.

Pada PRU-13, Allahyarham bertanding di kerusi Parlimen Gerik dan menang setelah menewaskan calon PAS dengan majoriti 6,216 undi, seterusnya mempertahankannya pada PRU-14 dengan majoriti 5,528 undi, mengalahkan calon PAS dan PKR.

Sumber: Suara Perak