Presiden UMNO mahu PRU-15 disegerakan

Presiden UMNO mahu PRU-15 disegerakan

Umno mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dengan segera bagi memastikan pembentukan kerajaan baharu yang memperoleh mandat rakyat.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu dilaksanakan dengan mengambil contoh negara luar yang melakukan pilihan raya dalam situasi pandemik wabak itu.

Bagaimanapun katanya, prosedur operasi standard (SOP) perlu diutamakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Kita menunggu agar mandat rakyat segera dikembalikan dan rakyat juga rindu kepada Umno dan BN untuk menjadi kerajaan semula. Umno mengambil keputusan pilihan raya disegerakan.

“Lebih 30 negara mengadakan pilihan raya ketika Covid-19 melanda negara (jadi) kenapa Malaysia saja takut… takut Covid ke takut benda lain?

“Kita akur bahawa penularan Covid-19 (mesti diputuskan dan sebab itu) SOP harus dipatuhi,” katanya ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Sayap/Bahagian Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Umno juga tekad merampas semula kerusi yang dimenangi parti itu di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-14 lalu pada PRU-15 nanti.

“Setiap kerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) sama ada Parlimen dan DUN yang kita menang pada PRU lalu, mesti wajib kita ambil dan takluki semula kerana kerusi itu Umno punya (sebelum ini).

“Kita akan menggunakan lambang BN dan tidak akan menggunakan lambang parti lain, terserahlah kepada parti lain (jika) menggunakan lambang mereka sendiri atau lambang sahabat baharu mereka,” katanya.

Katanya, semua kepimpinan dan ahli Umno juga perlu bersiap siaga menghadapi PRU-15 biarpun pelaksanaannya masih belum ditentukan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/659789/umno-mahu-pru-15-disegerakan