Premium Outlet Perak di Batu Gajah jadi projek gajah putih?

Premium Outlet Perak di Batu Gajah jadi projek gajah putih?

 

Pernah diuar-uarkan sebagai destinasi baharu pelancongan di Lembah Kinta, pusat perniagaan berasaskan keindahan tasik dan alam semulajadi, Premium Outlet Perak di sini terus jadi tanda tanya.

Ini kerana secara fizikalnya, pembinaan gedung beli belah berkonsepkan alam semula jadi iaitu ‘Silverlake Brand Village Outlet’ di sini sudah siap, malah, gedung perniagaan itu sebelum ini dikatakan sepatutnya dibuka pada hujung tahun 2020.

Namun, sehingga kini gedung beli belah itu belum dibuka untuk operasi perniagaan.

Menurut pelan, gedung perniagaan itu dibina di kawasan seluas 13.35 hektar, selain gedung beli belah, Silverlake Brand Village Outlet bakal dibina hotel dan kediaman.

Perkampungan atau rumah kartunis terkenal negara, Datuk Lat juga didirikan di kawasan itu, namun, sehingga kini belum dibuka kepada umum.

Keadaan itu menimbulkan pertanyaan dalam kalangan warga Perak.

“Rasa-rasanya bila agaknya Silverlakes Premium Outlet Batu Gajah, Perak ni nak buka? Sepatutnya Outlet Park ni dah lama dibuka,” demikian kata seorang pengguna media sosial.

Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) berkata, projek berkenaan bukan dilaksanakan oleh pihaknya.

“MDBG hanya memberi kelulusan pelan dan infra dan ia sudah selesai. Syarikat yang bertanggungjawab terhadap Silverlakes Premium Outlet ialah Silverland Capital,” katanya.