Premis hiburan diarah tutup, sembilan pengunjung dikompaun
Dua premis hiburan di Sitiawan dekat sini diarah tutup manakala sembilan pengunjungnya dikompaun apabila gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Tindakan itu dibuat dalam serbuan yang dilakukan sepasukan Team Task Force Pematuhan SOP PKPB Balai Polis Sitiawan selepas membuat pemantauan di dua pusat hiburan di sekitar Sitiawan antara pukul 9 malam hingga 12 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki penjaga premis itu telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Katanya, sembilan pelanggannya pula didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12 peraturan sama.
“Semua mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun didapati
telah melanggar SOP PKPB.
“Ia melibatkan perbuatan tidak melakukan penjarakan sosial, tidak memakai pelitup mula, tiada sanitasi serta melakukan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan sembang dekat,” katanya.
Menurut Nor Omar, berikutan itu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengambil tindakan menutup dua buah premis tersebut serta merta kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah PKPB.
Katanya lagi, premis perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam tetapi harus mengikut SOP ditetapkan demi menjaga kesihatan penduduk dan melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19.
Berita penuh: https://www.kosmo.com.my/2021/01/16/dua-premis-hiburan-diarah-tutup-sembilan-pengunjung-dikompaun/