PPV pandu lalu pertama di Perak mulai 10 Jun ini

PPV pandu lalu pertama di Perak mulai 10 Jun ini

Perak akan memulakan perkhidmatan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu pertama di negeri ini di Stadium Indera Mulia di sini pada 10 Jun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, perkara itu sudah disahkan oleh Jabatan Kesihatan Perak yang mana Kinta akan menjadi daerah pertama melaksanakan perkhidmatan itu.

“Pihak pengurusan telah mengadakan mesyuarat dan mendapat persetujuan untuk melaksanakan khidmat suntikan pandu lalu ini.

“Banyak perkara baik akan berlaku dalam Jun ini termasuklah jumlah vaksin jenis Sinovac dan Pfizer yang akan bertambah,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Menurut Noor Azmi, pihaknya juga dimaklumkan jumlah suntikan vaksin harian di PPV) di Stadium Indera Mulia di sini Ipoh sudah mencapai tahap maksimum sebanyak 1,800 dos sehari.

“Kita menjangkakan apabila perkhidmatan pandu lalu berkenaan dimulakan 10 Jun jumlah suntikan harian akan mencapai sehingga 2,400 dos sehari.

“Perkhidmatan pandu lalu ini akan dilaksanakan untuk pemberian dos kedua bagi penerima vaksin terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berharap dengan pelaksanaan khidmat pandu lalu itu, peratusan penerima vaksin di Perak bertambah dan dapat membentuk imuniti berkelompok.

Sehingga kini terdapat dua PPV secara pandu lalu di negara ini iaitu Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sumber: Utusan