PPPNP nafi ada unsur salahguna kuasa penjualan saham Ladang di Indonesia
Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) menafikan dakwaan penjualan 60 peratus saham Ladang Lekir Sdn Bhd (LLSB) dalam PT Pinang Witmas Sejati (PWS) kepada Taiko Plantations Pte Ltd berharga RM342 juta mempunyai unsur salah guna kuasa atau rasuah kerana dijual pada harga rendah.
Dalam satu kenyataan, PPPNP berkata pihaknya akan mengambil tindakan wajar terhadap pihak yang membuat kenyataan tidak benar itu demi menjaga kepentingan dan integriti organisasi tersebut.
Katanya kenyataan yang mendakwa ladang tersebut dinilaikan hampir RM1 bilion adalah tidak benar dan sengaja dibuat dengan bermotifkan niat jahat.
“Pada awal tahun ini satu penilaian telah dilaksanakan oleh sebuah firma penilaian bebas yang melaporkan, antara lainnya bahawa 60 peratus saham yang dahulunya dipegang oleh LLSB adalah bernilai lebih kurang RM315 juta.
“Oleh itu, saham 60 peratus dalam PWS yang dijual kepada Taiko Plantations Pte Ltd telah mengambil kira beberapa faktor, termasuk nilai pasaran ladang tersebut yang terkini,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu PPPNP menjelaskan sebelum keputusan penjualan saham itu dibuat pada 2014, usul berhubung perkara tersebut telah dibentangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
Katanya antara perkara yang turut diusulkan adalah syor penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menasihati PPPNP dalam perkara-perkara relevan yang berkaitan dengan transaksi penjualan saham itu.
“PPPNP telah mengikuti cadangan (MMK) dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan dengan tujuan untuk menjadi penasihat kepada PPPNP dalam hal berkaitan penjualan saham di dalam PWS.
“Sekitar Mei 2016, PPPNP telah membentangkan usul untuk menjual saham-saham di dalam PWS di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Perak, dan turut menyatakan sebab-sebab mengapa transaksi tersebut dibentangkan di mana ianya adalah demi kepentingan PPPNP.
“Dalam hal ini, sebab-sebab yang diberikan dan dinyatakan termasuklah, antara lainnya, kos-kos penanaman semula yang melibatkan ladang kelapa sawit PWS, tempoh pajakan ladang tersebut dan juga polisi-polisi nasional yang diperkenalkan oleh kerajaan tempatan iaitu Indonesia,” jelasnya lagi.
Sumber: Perak Today