PPK Lenggong harap pembinaan Hentian R&R dapat dibina tahun ini

PPK Lenggong harap pembinaan Hentian R&R dapat dibina tahun ini

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lenggong mengharapkan satu Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dapat dibina di daerah itu, tahun ini.

Pengerusinya, Razikin Marzuki, berkata hentian itu yang dirancang dibina di laluan tidak jauh dari Hutan Lipur Lata Kekabu dijangka menjadi tumpuan ramai pada setiap hujung minggu.

Katanya, projek berkenaan akan dibina di sebelah bangunan Stesen Petronas milik PPK Lenggong yang terletak di kawasan sebelah laluan Ipoh-Kota Bharu.

“Jika diluluskan peruntukan sebanyak RM200,000, projek yang bakal dibina pada April tahun ini akan dilengkapi dengan lima kios.

“PPK Lenggong adalah pemilik stesen minyak Petronas Lenggong yang terletak di laluan antara Kuala Lumpur-Ipoh-Kota Bharu dan sudah tentu menjadi tumpuan pengguna jalan raya.

“Ia berpotensi menjadi tempat jualan produk usahawan tempatan, lebih-lebih lagi jika dibangunkan Georpark Kebangsaan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria yang mendengar taklimat mengenai lima projek di sini, petang tadi.

Kelima-lima projek terbabit ialah Rancangan Pembangunan Hentian R&R PPK Lenggong, Ladang Nanas Air Kala, Padang Ragut (Wanita) Kampung Chepor, Projek Kolam Udang Galah Kampung Luat serta Projek Semaian dan Cantuman Durian Musang King Pak Chat Kampung Luat.

Turut hadir, Pegawai Penyelia Daerah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Wilayah Perak Tengah, Mohammad Shamsuddin.

Ditanya mengenai projek pembinaan R&R itu, Razman berkata, permohonan itu dalam pertimbangan pihak berkaitan.

Beliau yakin permohonan itu akan diutamakan kerana ia berpotensi besar sebagai projek yang boleh memberi impak ekonomi kepada PPK Lenggong.

Dalam pada itu, Razman berkata, permohonan 13 ahli Padang Ragut (W) Kampung Chepor untuk membina kandang serta celung bagi memudahkan ahli menangkap lembu yang diternak untuk dijual, juga akan dipanjangkan kepada pihak atasan dalam masa terdekat.

Katanya, walaupun pengusahanya wanita seramai 13 orang, mereka ada kesungguhan dan projek juga dilihat berpotensi untuk membangun.

Begitu juga projek kolam udang galah, ladang nanas dan projek semaian serta cantuman Musang King. – BH